Dua lagi direman rasuah kuota pekerja asing

Pemilik syarikat dan ahli perniagaan antara dua individu direman bagi membantu siasatan kes rasuah bagi mendapatkan kuota pekerja asing di negara ini pada Khamis.
Pemilik syarikat dan ahli perniagaan antara dua individu direman bagi membantu siasatan kes rasuah bagi mendapatkan kuota pekerja asing di negara ini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik syarikat dan ahli perniagaan antara dua individu direman bagi membantu siasatan kes rasuah bagi mendapatkan kuota pekerja asing di negara ini pada Khamis.

Kedua suspek berumur 30-an dan 50-an sebelum ini ditahan kira-kira jam 10 malam dan 12 tengah malam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada Rabu.

Menurut sumber, ahli perniagaan tersebut disiasat berhubung penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM1 juta daripada ejen pekerjaan manakala seorang lagi suspek disyaki membayar rasuah kepada syarikat penyedia platform bagi permohonan pekerja asing.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 7 Ogos 2022 selepas pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Pada Rabu, SPRM menahan lapan individu dengan enam daripadanya direman tiga hari manakala dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!