Mexico: 13 wartawan dibunuh setakat Ogos
BANDARAYA MEXICO - Seorang lagi wartawan Mexico maut dalam insiden tembakan ketika bekerja di bar milik keluarganya, menurut pihak berkuasa Guanajuato pada Rabu.
Pembunuhan Ernesto Mendez adalah yang ke-13 dalam siri pembunuhan melibatkan wartawan di Mexico setakat tahun ini, menurut Agensi Anadolu.
Serangan berlaku lewat malam Selasa di sebuah bar milik keluarga Mendez di San Luis de la Paz, menurut pihak berkuasa.
Laporan awal mendapati sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam bar dan melepaskan tembakan ke arah Mendez serta seorang ahli perniagaan dan dua yang lain.
Mendez sebelum ini dilaporkan telah menerima ancaman beberapa kali dan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk meminta perlindungan.
Article19, sebuah pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa mengenai hak kebebasan bersuara, mengecam pembunuhan terbaharu itu dan menyeru pejabat pendakwa raya khas mengenai hak bersuara mengambil alih siasatan.
"Setakat ini sebanyak 13 pembunuhan melibatkan golongan wartawan pada 2022.
"Kami menuntut Mexico untuk bertindak segera menghentikan ancaman ini, dan kami menzahirkan rasa dukacita kepada keluarga, sahabat dan rakan sekerja Ernesto," menurut kenyataan pertubuhan itu di Twitter.
Organisasi seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Amerika (CIDH) baru-baru ini melabel Mexico sebagai negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!