Peniaga serah diri lepas hina polis di Facebook

Seorang peniaga di Kuala Krai menyerah diri selepas memuat naik hantaran menghina tugas polis di Facebook miliknya pada Selasa. (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
Seorang peniaga di Kuala Krai menyerah diri selepas memuat naik hantaran menghina tugas polis di Facebook miliknya pada Selasa. (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang peniaga di Kuala Krai menyerah diri selepas memuat naik hantaran menghina tugas polis di Facebook miliknya pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 40 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada jam 11 malam.

"Suspek telah memuat naik status yang berbunyi 'bringat hok mano uturn depan shell daskoh... ado duk kutip pitis depan pasar raya pantai timut... lancar'," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu Kelantan pada Khamis.

Menurutnya, status Facebook tersebut disifatkan telah menghina anggota yang bertugas termasuklah seluruh warga kerja IPD Kuala Krai dan Polis Kelantan.

Beliau berkata, lelaki itu telah direman sehari pada 3 Ogos bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

Muhamad Zaki berkata, suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing yang dijalankan, dia negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, 233 Akta Komunikasi Media 1998, 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan 499 Kanun Keseksaan.

"Saya nasihatkan kepada warganet supaya tidak berkongsi sesuatu perkara yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegentaran awam," katanya.

Sebelum itu tular di Facebook status 'berbau' penghinaan terhadap polis yang dimuat naik oleh lelaki berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!