Mendiang Boon Bee bangga dengan prestasi badminton negara

Gambar kenangan mendiang Boon Bee bersama isterinya, Yee Cheng.
Gambar kenangan mendiang Boon Bee bersama isterinya, Yee Cheng.
A
A
A

BIARPUN telah bersara sebagai atlet berpuluh tahun lamanya, legenda badminton negara, mendiang Datuk Ng Boon Bee, 85, masih mengikuti rapat senario semasa badminton tanah air di media massa.

Isteri, Tong Yee Cheng, 85, berkata, mendiang juga tidak pernah terlepas menonton setiap perlawanan badminton membabitkan Malaysia yang ditayangkan di televisyen.

Menurutnya, semasa berlangsungnya Sukan Komanwel Birmingham, mendiang setiap hari menonton acara-acara sukan disertai negara termasuklah badminton yang berjaya menyumbang pingat emas kepada kontinjen Malaysia menerusi berpasukan campuran.

"Dia selalu kata yang dia berbangga dengan prestasi dan pencapaian badminton negara sekarang.

"Harapan dia cuma mahu pemain-pemain yang ada ketika ini bermain dengan bersungguh-sungguh untuk negara.

"Walaupun mendiang tidak bercakap secara serius, tetapi saya tahu mendiang sebenarnya sangat sayang dan ambil tahu situasi semasa badminton negara," katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Sri Klebang 2, Chemor di sini pada Khamis.

Yee Cheng berkata, pada lewat usia, mendiang tetap menjaga kesihatannya dengan mengamalkan rutin aktiviti sihat seperti bersenam, bercucuk tanam dan ada ketikanya bermain badminton secara santai di rumah.

Katanya, pemergian mendiang pada Rabu sesuatu yang agak mengejutkan mereka sekeluarga kerana mendiang tidak pernah mengadu atau mengalami apa-apa sakit sebelum ini.

"Pagi itu kami sempat sarapan bersama, apabila dalam kereta untuk perjalanan ke Pulau Pinang, mendiang mengadu sakit di bahagian perut menyebabkan kami terus ke hospital," katanya.

Boon Bee menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 4 petang disebabkan ‘aneurisme’.

Beliau meninggalkan balu, Yee Cheng yang juga bekas pemain badminton dan anak perempuan, Gillian Ng, 51.

Yee Cheng bersama anak perempuannya, Gillian Ng.
Yee Cheng bersama anak perempuannya, Gillian Ng.

Seorang lagi anak mendiang, Thomas, yang diberi nama sempena kejuaraan Piala Thomas dijulangnya pada 1967 telah meninggal dunia pada usia 54 tahun, tahun lalu.

Boon Bee mewakili era emas badminton sekitar 1960-an dan 70-an dan menyinar dalam acara lelaki dan beregu campuran antara 1960 dan 1973 dengan memenangi 17 pingat emas dalam pelbagai kejuaraan utama.

Boon Bee dan pasangannya dalam beregu lelaki, Datuk Tan Yee Khan adalah anggota penting pasukan Piala Thomas 1967 yang menumbangkan juara Indonesia dalam final di Jakarta.

Bersama Yee Khan, beliau turut menguasai pentas antarabangsa sekitar 1960-an di mana mereka muncul sebagai juara All England pada 1965 dan 1966. Boon Bee kemudiannya bergandingan dengan mendiang Datuk Punch Gunalan untuk memenangi gelaran All England 1971.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!