Pinda POCA 1959, kembalikan semula kuasa polis: Musa Hassan
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa kerajaan supaya meminda Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dalam usaha mencegah kegiatan jenayah terancang daripada berleluasa.
Beliau berkata, pindaan itu penting dalam usaha mengembalikan kuasa Polis Diraja Malaysia untuk membanteras jenayah terancang hingga ke akar umbi khususnya membabitkan Seksyen 4 di bawah akta tersebut yang menyentuh perihal kebenaran dan tempoh reman bagi individu yang ditahan di bawah POCA 1959.
"Oleh kerana keputusan mahkamah tempoh hari, polis berhenti menguatkuasakan (POCA) untuk sementara dan saya rasa ini adalah satu perkara yang perlu kita teliti.
"Polis perlu kuasa untuk jalankan tugas terutamanya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan jenayah terancang, keganasan terancang, kongsi gelap, pelacuran, pemerdagangan manusia dan macam-macam lagi.
"Kita nak jaga keselamatan dan keamanan negara bukan kita nak guna undang-undang (POCA) untuk menganiaya seseorang...jadi di sini saya rayu Kementerian Dalam Negeri (KDN) nilai semula undang-undang tersebut," katanya ketika ditemui di Forum Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras di sini, pada Khamis.
Turut hadir sebagai panel adalah bekas Peguamcara Negara, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Seri Abdul Razak Musa; bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, AGC, Datuk Ishak Mohd Yusof dan Pakar Kriminologi dan Psikologi Kriminal, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohammad Rahim Kamaluddin.
Mahkamah Persekutuan pada April membenarkan permohonan habeas corpus terhadap seorang suspek disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah terancang yang ditahan di mengikut Seksyen 4 POCA 1959.
Difahamkan, Sekyen 4 menggariskan berkenaan tatacara pemberian tempoh tahanan reman oleh pihak Majistret kepada pihak polis.
Mengulas mengenai perkara itu, Musa berkata, kuasa polis di bawah POCA 1959 perlu diteliti semula agar dapat dikuatkuasakan sepenuhnya tanpa salah guna kuasa daripada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sendiri.
"POCA perlu ditambah baik supaya ada proses semak dan imbang oleh kerana banyak suara hak asasi manusia apabila tahanan ditahan 21 hari.
"Polis juga gunakan POCA untuk melindungi saksi supaya mereka tidak takut untuk memberi keterangan. Bagi saya POCA perlu ada kuasa lebih supaya penjenayah berkenaan tak terlepas kerana saksi takut (diugut) untuk beri keterangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!