AUG 2022: Yun Wei idam emas pada penampilan terakhir

Yun Wei
Yun Wei
A
A
A

PEMAIN bola keranjang wanita negara, Tan Yun Wei berharap dapat menghadiahkan pingat emas buat negara pada penampilan kali terakhirnya di Sukan Universiti ASEAN (AUG) edisi ini.

Yun Wei yang merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, meskipun sedar ia bukan satu tugas yang mudah, namun dia berazam untuk menampilkan aksi terbaik bagi membantu pasukan mencapai keputusan positif di pada edisi kali ini.

Katanya lagi, dalam dua edisi yang disertainya lalu iaitu di Singapura pada 2016 dan Myanmar pada 2018, dia hanya berjaya membantu skuad bola keranjang wanita negara menduduki tempat ketiga dan meraih gangsa.

“Ini merupakan kali ketiga saya sertai AUG dan mungkin ia adalah yang terakhir. Sebab itu, saya mahu melakukan sesuatu yang lebih manis bersama pasukan di AUG 2022.

“Saya mahukan emas. Walaupun saya sedar sasaran itu sukar namun tidak mustahil kerana segalanya-galanya boleh berlaku dan peluang itu tetap ada.

“Saingan utama dalam acara bola keranjang wanita adalah Thailand dan kita harap dapat mengatasi mereka,”ujarnya.

Dalam pada itu, pemain kelab MYKC Dragons yang bersaing dalam Liga Bola Keranjang Kebangsaan itu turut menyimpan hasrat untuk mewakili negara di peringkat tertinggi seperti Sukan Sea satu hari nanti.

“Saya aktif dalam sukan bola keranjang sejak dibangku sekolah lagi dan berharap dapat mewakili negara di peringkat tertinggi pada suatu hari nanti termasuk di Sukan SEA," kata atlet kelahiran Melaka itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!