Penjara Reman Pulau Pinang catat sifar positif Covid-19
GEORGETOWN - Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan sifar kes positif Covid-19 sejak Jun tahun lalu setelah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail berkata, tindakan itu diambil bagi mengelak penularan wabak berkenaan terutamanya ketika penerimaan kemasukan banduan baharu.
"Penjara Reman Pulau Pinang tidak mencatatkan kes positif Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara sejak Jun tahun lalu kerana kita mengamalkan kawalan ketat bagi memastikan penjara bebas wabak berkenaan.
"Saringan yang ketat dilakukan ketika menerima kemasukan banduan baharu. Mereka akan dikuarantin terlebih dahulu di Penjara Satelit Bukit Mertajam, dan kemudian akan dikuarantin sekali lagi di Penjara Reman Pulau Pinang sebelum ditempatkan di dalam sel," katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah di Penjara Reman Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Tambah beliau, sehingga kini, 98 peratus penghuni penjara tersebut telah divaksin dengan vaksin jenis Cansino.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan penghuni bebas daripada Covid-19. Hanya kira-kira dua peratus banduan yang masih belum divaksin kerana mereka adalah penghuni baharu di penjara ini.
"Kita juga akan menghantar laporan kepada KKM mengenai situasi terkini keadaan Covid-19 di penjara dan pihak KKM turut memantau keadaan di sini," katanya.
Sementara itu, kapasiti Penjara Reman Pulau Pinang masih dalam terkawal dengan jumlah penghuninya adalah 1,058 orang.
"Kapasiti penjara ini adalah antara 700 hingga 1,200 orang, dan setakat ini ia masih boleh dihuni dengan selesa," katanya.
Dalam pada itu, majlis berkenaan disertai seramai 340 penghuni penjara tersebut yang diisi dengan program ceramah khas disampaikan penceramah bebas, Datuk Dr Danial Zainal Abidin.
Seorang penghuni Penjara Reman Pulau Pinang yang dikenali sebagai, Mohamad, 23, berkata, ceramah berkenaan dapat membantunya serta banduan lain untuk lebih memahami erti hijrah.
"Ceramah ini juga memberi semangat baharu kepada kami untuk menjadi lebih baik selepas ini," katanya.
Seorang lagi penghuni yang juga bekas kakitangan kerajaan yang dipanggil, Zul, 37, berkata, ceramah yang diadakan itu memberi nilai-nilai keinsafan dan positif agar penghuni penjara dapat berhijrah kepada lebih baik.
Dia sedang menjalani hukuman mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sejak tiga tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!