WAO cadang tiga pindaan lanjutan RUU menghendap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mencadangkan tiga pindaan lanjutan untuk menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) menghendap yang dibentang untuk kali pertama di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pertubuhan itu dalam satu kenyataan berkata, tiga cadangan itu merangkumi meluaskan definisi menghendap untuk kelakuan berterusan, menambahkan doxing (menyelidik maklumat peribadi di internet), merosakkan harta serta mengintip ke dalam senarai 'act of harassment' dan melanjutkan tempoh berkuatkuasa perintah perlindungan menghendap.

Menurut kenyataan itu, RUU sedia ada mengiktiraf bahawa menghendap terdiri daripada tindakan berulang. Contohnya seorang penghendap berulang kali mengikuti dan menghubungi seseorang, namun satu tindakan yang berterusan juga boleh dianggap sebagai menghendap.

"Sebagai contoh, seorang penghendap boleh mengikuti seseorang secara berterusan dari pejabat anda ke rumah, situasi ini juga berbahaya.

"Kedua, RUU sedia ada menyenaraikan mengikuti, berkomunikasi, merayau di sekitar rumah atau tempat kerja seseorang dan menghantar sesuatu sebagai tindakan-tindakan yang mungkin boleh dianggap sebagai stalking (jika perbuatan itu berulang dan secara munasabah menyebabkan ketakutan, kegusaran atau kegentaran).

"Senarai ini boleh ditambah baik dengan menambahkan doxing, merosakkan harta benda dan mengintip. Perbuatan-perbuatan ini juga sering dilakukan oleh penghendap," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, tempoh berkuatkuasa perintah perlindungan juga perlu diberikan penekanan untuk melindungi mangsa.

"RUU ini mewujudkan perintah perlindungan, tetapi perintah perlindungan hanya boleh kekal berkuatkuasa sepanjang tempoh penyiasatan dan perbicaraan.

"Mahkamah harus diberi budi bicara untuk melanjutkan tempoh berkuatkuasa perintah perlindungan melebihi tempoh penyiasatan atau perbicaraan jika perlu untuk melindungi mangsa," katanya.

Pada Khamis, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574 telah dibentangkan buat pertama kali di Dewan Rakyat.

Ia akan menyaksikan perbuatan menghendap akan menjadi sebagai satu jenayah apabila RUU itu dipinda nanti.

Menurut kenyataan itu, cadangan yang dikemukakan tersebut adalah selaras dengan undang-undang menghendap di negara-negara lain seperti United Kingdom, Singapura, New Zealand dan sebagainya.

"Kajian oleh WAO dan Vase.ai mendapati bahawa lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia termasuk 39 peratus wanita pernah menjadi mangsa menghendap yang menyebabkan mereka ketakutan.

"Justeru, langkah kerajaan untuk membentangkan undang-undang anti-stalking ini amat dihargai dan kami berharap untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan penggubal dasar untuk meluluskan RUU ini dalam masa terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!