Bekas tentera laksana misi laung azan di 99 masjid

Murad (tiga dari kiri) ketika bergambar bersama ADUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (dua dari kiri) selepas solat Asar di Masjid Teluk Kemang, Port Dickson.
Murad (tiga dari kiri) ketika bergambar bersama ADUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (dua dari kiri) selepas solat Asar di Masjid Teluk Kemang, Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pesara tentera akan mengalunkan azan setiap waktu solat fardu di 99 buah masjid yang disinggahinya semasa pengembaraan solonya mengelilingi semenanjung Malaysia.

Murad Kassim, 52, memulakan perjalanan 'Kembara Solo Hijrah Merdeka' nya dari Perlis kemudiannya Selangor sebelum tiba di daerah ini pada Khamis.

"Sebelum ini saya pernah mengadakan ekspedisi berkayak kerana sukakan cabaran dan kali ini saya menggunakan motosikal jenis Yamaha LC 125 untuk mengelilingi semenanjung Malaysia.

"Setakat ini saya sudah singgah 70 buah masjid dan mengambil masa 10 hari untuk sampai ke Negeri Sembilan," katanya pada Khamis.

Jelas Murad, kehadirannya di Port Dickson benar-benar menyentuh hatinya susulan ia merupakan tempat pertamanya menuntut ilmu ketenteraan.

"Ini kali pertama saya datang Port Dickson selepas 33 tahun lalu dan sebaik saya tamat latihan rekrut, saya ditugaskan di beberapa tempat termasuk Sabah sebanyak dua kali.

"Hari ini saya singgah di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja waktu Zuhor bersama pegawai tentera Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

"Dalam banyak-banyak masjid yang saya singgah dan melaungkan Azan, masjid inilah yang paling terkesan kerana disinilah saya bersama rakan sepelatih bersolat terutama setiap hari Jumaat," katanya.

Dalam pada itu, Murad berkata, selepas ini dia akan singgah di lima masjid di daerah ini sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka dan Johor dalam misi untuk solat dan azan di 99 buah masjid.

Tambahnya, keluarganya amat memahami minatnya itu dalam aktiviti solo walaupun mereka bimbang akan keselamatannya.

"Sejak pencen tentera 12 tahun lalu, saya suka memenuhi masa dengan beriadah sambil beramal dan keseronokannya apabila misi kita tercapai.

"Apa yang menarik ketika saya solat Asar semalam, saya turut diraikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar dan beliau menitipkan kata-kata semangat.

"Saya harap dapat meneruskan perjalanan hingga kembali ke rumah saya di Putrajaya dan berhasrat menulis buku berdasarkan pengalaman sepanjang pengembaraan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!