Banjir: Bomba tumpu enam negeri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menumpukan enam negeri berisiko banjir sepanjang musim tengkujuh nanti dengan usaha turut diselaras dalam memberdayakan masyarakat tempatan bagi menghadapi bencana itu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, negeri tersebut adalah Selangor, Kedah, Sabah dan Sarawak serta dua negeri di pantai timur dengan kesiapsiagaan turut meliputi program memperkasa komuniti untuk menjadi sebagai ‘penggerak balas pertama’ terhadap bencana itu.

"Melalui program bomba komuniti, ada kawasan tertentu yang dibekalkan dengan peralatan asas seperti bot, personal flotation device (PFD) dan pelbagai jenis latihan menyelamat,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Briged Bomba Politeknik Malaysia di sini pada Khamis.

Katanya, penglibatan masyarakat tempatan dalam bencana seperti itu amat penting selain turut membantu anggota penyelamat bagi melihat ketinggian paras air banjir serta memberi amaran awal kepada orang sekeliling.

"Dalam keadaan cuaca tidak menentu ini, kami telah menggerakkan sumber manusia dan logistik ke pangkalan hadapan di kawasan hotspot. Jadi apabila dapat maklumat daripada orang tempatan kami akan terus hantar pasukan untuk melihat sama ada paras aras air itu memerlukan bantuan segera,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohammad Hamdan berkata, lebih 200 anggota bomba baharu telah ditempatkan bagi mengisi jawatan yang kosong di balai-balai di seluruh negara termasuk di enam balai yang baharu siap.

"Kami tidak melakukan pengambilan baharu selama tiga tahun kerana pandemik Covid-19 dan secara purata antara 200 ke 400 anggota akan berpencen dalam masa setahun. Sebab itu, pada penghujung 2021 kami dapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membuat pengambilan.

"Program latihan selama empat bulan setengah telah dibuat di dalam akademi bagi mengawal penularan Covid-19 dan insya-ALLAH 760 anggota bomba lagi akan ditauliahkan pada 8 Ogos nanti menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,000 anggota baharu akan mengisi perjawatan yang kosong di JBPM,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!