50 perjawatan baharu untuk Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar
KOTA KINABALU - Sebanyak 50 perjawatan baharu ditubuhkan untuk ditugaskan di bawah Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar atau 'Wildlife Crime Bureau' (WCB) yang berpusat di Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kerajaan telah meluluskan untuk perjawatan baharu itu dan ia diperoleh pada pertengahan Julai lalu.
"Kita akan wujudkan perjawatan ini secepat mungkin dan mengenal pasti pegawai serta anggota yang terlibat menganggotai WCB dan 50 perjawatan itu meliputi bagi Sabah dan Sarawak.
"WCB adalah satu unit yang diletakkan di Bukit Aman di bawah kelolaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bagi membolehkan siasatan dibuat secara terselia di peringkat Bukit Aman dan pastikan tidak ada kes-kes terlepas begitu saja.
"Saya percaya dengan penubuhan unit WCB ini akan memberikan impak yang berkesan dalam usaha untuk memerangi jenayah yang berkaitan dengan hidupan liar khususnya pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan spesies yang dilindungi dan terancam," katanya ketika sidang akhbar sempena Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini pada Khamis.
Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan dan Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Acryl Sani berkata, terdapat peningkatan dalam statistik dari sudut penguatkuasaan bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2019 hingga tahun ini.
"Kita lihat peningkatan ketara dari sudut penguatkuasaan yang telah kita buat bagi 2022, 2021 dan tahun sebelumnya dan kita percaya momentum ini akan dapat diteruskan," katanya.
Bercakap mengenai mesyuarat yang dihadirinya, beliau memaklumkan bahawa penggunaan tiga prosedur operasi standard (SOP) bagi OBK adalah berbeza untuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Dalam mesyuarat tadi telah memuktamadkan kita punya SOP operasi OBK kerana di Semenanjung kita menggunakan akta yang berbeza, di Sarawak menggunakan ordinan di Sarawak dan begitu juga Sabah tetapi gerak kerjanya hampir sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!