Perak tak pinggir sukan muay thai
IPOH - Kerajaan Perak nafi pinggirkan sukan muay thai di negeri ini yang melahirkan ramai atlet berbakat.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee berkata, kerajaan negeri sentiasa fokus memastikan pembangunan sukan prestasi tinggi khususnya sukan muay thai dilaksana dengan platform yang betul.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan atlet dapat menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di bawah badan yang diiktiraf secara konsisten.
"Sukan muay thai merupakan antara sukan yang diberi perhatian secara konsisten oleh kerajaan Perak dalam pelbagai sudut seperti kemudahan venue latihan dan pertandingan, latihan di luar negara, kebajikan jurulatih dan atlet serta pelbagai lagi.
"Kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi selagi mengikut platform yang diiktiraf," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat G1, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, wakil Majlis Sukan Perak, Shahdan Mohd Hashim.
Howard berkata, Persatuan Muay Thai Perak merupakan satu-satunya persatuan yang diiktiraf mewakili sukan muay thai di negeri ini kerana mereka merupakan ahli gabungan kepada Persatuan Muaythai Malaysia (PMTP).
Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri sedia menjadi pemudah cara dalam menyelaras pertemuan serta perbincangan di antara persatuan-persatuan lain berkaitan muay thai bersama PMTP bagi membolehkan bakat-bakat pelapis dapat dibangunkan dengan sewajarnya.
"Kita melihat perlu ada usaha untuk mengumpulkan bakat-bakat pelapis daripada semua persatuan-persatuan muay thai ini.
"Semua persatuan-persatuan perlu duduk semeja berbincang mengenepikan perbezaan pandangan untuk pembangunan atlet-atlet ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!