Azeem sudah beri terbaik
ATLET pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi boleh mengukir senyuman dengan pencapaian diraih dalam acara 100 meter (m) dan 200m pada penampilan sulung di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Cali, Colombia.
Beliau memperbaharui catatan masa peribadi terbaik acara 200m dengan kepantasan 20.83 saat (s) yang dicipta dalam pusingan awal di Stadium Olimpik Pascual Guerrero, selepas memecahkan rekod 100m kebangsaan dan menamatkan saingan final kejohanan itu di tempat kelima,
Namun, hasrat Azeem untuk layak ke final 200m tidak kesampaian apabila menduduki tempat keempat dengan catatan 20.97s dalam saringan dua saingan separuh akhir yang tertangguh kira-kira dua jam akibat cuaca buruk.
"Tertangguh selama dua jam dan berlari dalam cuaca buruk, tetapi alhamdulillah saya berjaya sampai ke garisan penamat. Tiada apa yang hendak dimalukan dan setakat ini saya bangga dengan diri saya. Berlari di pentas dunia membuatkan saya banyak belajar.
"Terima kasih kepada semua yang menyokong saya sejak beberapa hari lepas, saya janji anda bakal menyaksikan rakyat Malaysia pertama berlari di bawah 10 saat tidak lama lagi," tulis Azeem di media sosialnya.
Sementara itu, jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, beliau tidak terkilan apabila Azeem gagal ke final kerana dia telah memberikan segalanya untuk kekal berada pada tahap prestasi terbaik di Cali.
"Untuk persembahan hari ini saya tak boleh rasa kecewa kerana dia masih berada pada tahap prestasi yang tinggi dengan mencapai masa peribadi terbaiknya. Dia (Azeem) telah berusaha keras dan itulah hasilnya.
"(Catatan masa) 20.83s satu petanda positif, mungkin tiga larian dalam 100m sebelum ini memberi impak terhadap pencapaiannya dalam 200m. Saya tak boleh nak kata apa, saya berpuas hati apa yang telah dilakukan beliau di sini," katanya yang berada di Cali ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam saingan separuh akhir, Azeem ditinggalkan juara 100m kejohanan dari Botswana, Letsile Tebogo yang memenangi perlumbaan dengan masa 20.23s diikuti Anthony Smith dari Turkiye di tempat kedua (20.83s) dan wakil Australia, Aidan Murphy ketiga selepas merakam 20.84s.
Untuk rekod, hanya dua pelari terbaik dalam ketiga-tiga saringan separuh akhir dan dua terpantas selepas itu layak ke final.
Azeem sebelum ini mencipta rekod baharu 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s ketika beraksi dalam pusingan awal Selasa lalu, yang menyaksikan beliau memadam rekod lama 10.18s milik bekas jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.
Dalam pada itu, Muhammad Amir berkata, sejurus pulang ke Malaysia minggu depan Azeem akan meneruskan latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 bermula September ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!