Lemas ketika mandi bersama rakan
KAMPUNG GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas mandi bersama rakannya di Sungai Perak di Kampung Pulau Tiga Kiri, di sini, petang semalam.
Mangsa Ahmad Salman Omar, 11, dikatakan pergi ke sungai berhampiran rumahnya bersama rakan-rakan untuk bermandi-manda sekitar jam 6 petang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, aktiviti kanak-kanak itu turut ditemani ibu mangsa.
"Sejam selepas mereka mandi, ibu mangsa pulang ke rumah dan hanya tinggal mangsa bersama rakan-rakannya di situ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa masih tidak pulang ke rumah sekitar jam 7.20 malam.
"Bapa mangsa bertindak mencari anaknya di sungai yang mana, kawan-kawan mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing.
"Bapa mangsa menemui kasut milik anaknya di atas tebing sungai dan meminta bantuan orang kampung untuk mencari Ahmad Salman," katanya.
Mohamad Zainal, Ahmad Salman berkata, penduduk kampung menemui mangsa kira-kira 50 meter dari tempat kejadian sekitar jam 8 malam.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
“Tiada unsur jenayah dikesan dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.29 malam.
“Pihak bomba dimaklumkan mangsa sudah ditemui oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Bomba membantu pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.20 malam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!