Kerajaan digesa wujudkan badan khas pantau yayasan

Nor Halmey
Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewujudkan badan pemantauan khas bagi memastikan semua yayasan di negara ini dikawal selia dengan baik serta rapi.

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) dan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, langkah itu penting dilaksanakan berikutan timbul pelbagai spekulasi berkaitan dengan yayasan-yayasan di negara ini.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan memperketatkan syarat-syarat dalam menubuhkan sesebuah yayasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1 mendedahkan peranan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) iaitu sebuah agensi yang melaksanakan program promosi, pendidikan serta kesedaran untuk meningkatkan aplikasi teknologi hijau dan penghayatan terhadap gaya hidup hijau belum dicapai.

Menurut laporan tersebut, dalam enam daripada sembilan program yang dijalankan agensi itu tidak lagi memfokuskan kepada aktiviti promosi, pendidikan atau kesedaran berkaitan teknologi hijau dan amalan gaya hidup hijau.

Ulas Nor Halmey, perkara berkenaan menyebabkan kesedaran rakyat menjadi rendah dan responsif semakin lemah terhadap keperluan kelestarian hidup yang mengutamakan keselamatan alam sekitar.

“Dengan masalah kekurangan bajet dan peruntukan maka agensi atau kemenrerian perlu menyusun strategi menyalurkan kesedaran hijau kepada rakyat dalam pelbagai lapisan masyarakat.

“Program boleh fokus kepada golongan pembuat keputusan atau dasar. Maka ia dapat membantu kerajaan dengan kekangan kewangan negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!