'Saya dapat sokongan penuh Majlis Raja-raja'

Mujahid (tengah) menyantuni salah seorang penerima bantuan untuk pakaian sekolah baharu sewaktu program sumbangan Back To School Parlimen Parit Buntar di Mydin Mall, hari ini.
Mujahid (tengah) menyantuni salah seorang penerima bantuan untuk pakaian sekolah baharu sewaktu program sumbangan Back To School Parlimen Parit Buntar di Mydin Mall, hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan pihaknya menguruskan pentadbiran agama Islam bagi rakyat negara ini bercanggah dengan kepentingan Islam dan saranan Majlis Raja-raja sebagaimana dakwaan segelintir pihak.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Parit Buntar itu menegaskan pihaknya kini mendapat sokongan penuh pihak istana dan Majlis Raja-raja bagi melaksanakan sebarang agenda perancangan melibatkan kepentingan hal ehwal Islam di negara ini pada tahun hadapan.

Menurutnya, realiti dari sudut perundangan negara, urusan hal ehwal pentadbiran Islam terletak di bawah bidang kuasa raja dan Majlis Raja-raja sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Bagi mana-mana menteri diamanahkan menjaga hal ehwal agama Islam, mereka perlu ada penyelarasan dengan pihak istana dalam mana-mana isu melibatkan kepentingan Islam.

"Jadi saya terkejut terdapat tuduhan menteri agama kononnya buat perkara bercanggah dan keputusan tidak menghormati umat Islam kerana semua keputusan besar dibuat kami pastinya akan dirujuk dalam Majlis Raja-raja," katanya pada majlis penyerahan sumbangan Back To School Parlimen Parit Buntar kepada 200 pelajar asnaf di Mydin Mall di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan kesemua penerima bantuan berkenaan menerima sumbangan baucer pembelian kelengkapan sekolah bernilai RM100 dan sebuah beg sekolah sumbangan Pasaraya Mydin sendiri.

Mujahid turut mengambil contoh isu perkahwinan bawah umur yang dibawa ke pengetahuan Majlis Raja-raja dan terkini keputusan pindaan Akta 505 Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan melibatkan beberapa perkara yang akhirnya memberi kuasa kepada Yang Dipertuan Agong.

Menurutnya, keputusan pindaan akta dibuat itu adalah melalui nasihat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum dirujuk kepada pihak istana.

Artikel Berkaitan:

"Pihak tertentu boleh merrka cerita apa mereka hendak, realitinya semua perkara melibatkan kepentingan hal ehwal Islam tidak mempunyai sebarang isu berbangkit ditimbulkan dari pihak istana dan Majlis Raja-raja.

"Dakwaan sultan dan raja murka dengan saya kerana bercanggah dalam pentabiran Islam juga tidak betul kerana mereka beri sokongan penuh dan percaya kepada saya dalam melaksanakan tugas-tugas itu sehingga kini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid turut menyokong kenyataan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah tentang isu Melayu dan punca kerosakan bangsa Melayu disebabkan orang Melayu saling taksub berpolitik sesama mereka, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau kesal mengapa nasihat baginda Tuanku Sultan Perak tidak diambil iktibar oleh segelintir puak mengamalkan politik perkauman, namun bila hendak fitnah kerajaan PH mereka kaitkan sebarang perbuatan didakwa tidak elok dilakukan PH dengan institusi diraja.

"Di sini jelas kita dapat lihat siapa yang menghina raja-raja sekarang ini?

"Sama juga dengan penganjuran himpunan anti ICERD pada hari ini yang saya berpendapat dipolitikkan untuk menunjukkan seolah-olah mereka pejuang Melayu semata-mata," katanya.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!