Sasar wujud lebih 4,000 tan metrik stok penimbal ayam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 4,536 tan metrik stok penimbal ayam menjelang akhir Disember ini bagi menjamin keperluan ayam sentiasa mencukupi dan harganya stabil, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang diberi tanggungjawab bagi melaksanakan usaha berkenaan dan jumlah itu mencukupi bagi keperluan seminggu berasaskan keperluan 1.8 juta ekor sehari isi rumah Keluarga Malaysia.

"Ini sesuatu yang baharu kita akan laksanakan, setelah kita membenarkan produk itu diimport dari beberapa negara sumber dan juga stok dari penternak dalam negara.

"Bukan bermakna ayam itu kita simpan pada tempoh tertentu, tetapi dibenar dikeluarkan di pasaran secara berperingkat bagi menentukan stok sentiasa cukup dan harganya tidak naik,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau stok ayam bulat yang diimport dan ayam segar tempatan bagi menentukan tidak berlaku ‘lebihan pembekalan.’

Katanya, KPDNHEP juga akan memantau bekalan stok ayam dari semasa ke semasa dan melihat sekiranya terdapat bekalan berlebihan, ia akan kembali dibenarkan untuk dieksport.

"Kita dapat maklumat memang ada lebihan stok ayam dan harganya juga telah mula stabil, malah lebih rendah dari harga siling ditetapkan, namun kerajaan belum buat apa-apa keputusan mengenai kebenaran untuk eksport semula kerana ingin pastikan bekalan berada dalam keadaan stabil,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!