Cadangan bina asrama pekerja asing dibatalkan

Zakiyuddin
Zakiyuddin
A
A
A

GEORGETOWN - Cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) di Taman Perindustrian Pulau Pinang dibatalkan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya penduduk di sekitar Bertam, Kepala Batas.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat pemaju, Lestari Duta selepas mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh termasuk penduduk berjiran dan jabatan-jabatan teknikal terlibat.

"Pemaju telah bersetuju untuk membatalkan asrama warga asing seperti yang terkandung di dalam pelan terdahulu.

"Pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Penang Technology Park berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan projek itu bagi memastikannya dapat memenuhi hasrat kerajaan negeri.

"Kita akan pantau bagi memastikan projek terbabit memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk dan negeri selain mengurangkan implikasi negatif yang mungkin dibawa oleh pembangunan industri berteknologi terbabit," katanya.

Menjawab mengenai asrama warga asing itu masih diperlukan bagi memenuhi keperluan Taman Perindustrian Pulau Pinang dan akan dibina di kawasan lain, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Penang Technology Park berkata, ia merupakan satu proses yang panjang.

"Ia satu proses yang panjang memandangkan buat masa ini, pihak pemaju hanya akan menawarkan tapak industri kepada pelabur di kawasan tersebut. Kemungkinan tenaga pekerja awal di taman perindustrian itu adalah daripada sokongan penduduk tempatan atau yang tinggal berdekatan.

"Daripada pihak kerajaan negeri, sekiranya ada keperluan kepada tenaga kerja warga asing bukan sahaja di taman perindustrian ini malah di kawasan-kawasan lain, pihak industri sepatutnya menguruskan keperluan penempatan pekerja tersebut," katanya.

Sebelum ini, penduduk khususnya di daerah Bertam, Kepala Batas meluahkan kebimbangan dan beberapa kali mengadakan perhimpunan aman bagi membantah cadangan pembinaan CLQ itu yang dicadangkan berhampiran kediaman mereka.

Pembinaan asrama pekerja itu dirancang dibangunkan berikutan cadangan pembangunan Taman Perindustrian Pulau Pinang di tapak seluas lebih 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Difahamkan pelan asal pembinaan asrama pekerja itu keseluruhannya berjumlah tujuh blok dengan ketinggian 10 tingkat yang akan menempatkan hampir 18,000 pekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!