Batal bina asrama pekerja asing: Reezal ucap terima kasih
GEORGETOWN - Penduduk di sekitar kawasan Bertam, Kepala Batas boleh menarik nafas lega apabila cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) di Taman Perindustrian Pulau Pinang dibatalkan.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk pemaju dan kerajaan negeri.
"Syukur apabila cadangan projek ini dibatalkan setelah mengambil kira pandangan penduduk setempat, pimpinan tempatan serta jabatan teknikal terlibat.
"Saya berterima kasih kepada pihak pemaju kerana telah mendengar pandangan, bantahan pimpinan tempatan dan penduduk setempat terhadap cadangan projek kuarters pekerja berpusat tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut berterima kasih kepada Kerajaan Pulau Pinang yang menguruskan isu tersebut.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah memudahcara, mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh dan mengambil kira bantahan dikemukakan olehpenduduk setempat dan pimpinan tempatan terhadap cadangan projek ini.
"Pihak saya akan terus memantau dengan teliti cadangan-cadangan pembangunan dalam kawasan Parlimen yang saya wakili bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduknya sentiasa terjamin, selamat dan Kepala Batas kekal menjadi kawasan menarik serta berdaya huni," katanya.
Pada tengahari Rabu dalam sidang akhbarnya, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengumumkan cadangan pembinaan CLQ di Taman Perindustrian Pulau Pinang akhirnya dibatalkan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya penduduk di sekitar Bertam, Kepala Batas.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat pemaju, Lestari Duta selepas mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh termasuk penduduk berjiran dan jabatan-jabatan teknikal terlibat.
Sebelum ini, penduduk khususnya di daerah Bertam, Kepala Batas meluahkan kebimbangan dan beberapa kali mengadakan perhimpunan aman bagi membantah cadangan pembinaan CLQ itu yang dicadangkan berhampiran kediaman mereka.
Pembinaan asrama pekerja itu dirancang dibangunkan berikutan cadangan pembangunan Taman Perindustrian Pulau Pinang di tapak seluas lebih 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.
Difahamkan pelan asal pembinaan asrama pekerja itu keseluruhannya berjumlah tujuh blok dengan ketinggian 10 tingkat yang akan menempatkan hampir 18,000 pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!