Schmeichel sahut cabaran baharu
KELAB Ligue 1 Perancis, Nice mengesahkan telah merekrut khidmat Kasper Schmeichel dari Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City.
Bagaimanapun kelab kendalian Lucien Favre itu tidak menyatakan jumlah bayaran dan kontrak bagi khidmat penjaga gol Denmark berusia 35 tahun tersebut.
Namun menurut laporan media tempatan, Schmeichel ditawarkan kontrak tiga tahun dengan bayaran perpindahan 5.41 juta pound ke Allianz Riviera.
“OGC Nice gembira dengan ketibaan pemain yang pernah membawa Denmark ke pentas separuh akhir Euro 2020,” kata Nice dalam satu kenyataan.
Schmeichel, yang menyertai Leicester pada 2011 dari Leeds United, membantu The Foxes merangkul kejuaraan liga 2015-16, dan Piala FA 2021.
Di Stadium King Power, Schmeichel membuat penampilan dalam 479 perlawanan sepanjang 11 musim, sekali gus menduduki tempat ketiga senarai penampilan sepanjang masa Leicester.
Schmeichel yang memiliki 80 kap bersama Denmark membuat penampilan sulung ketika melakar kemenangan 3-0 ke atas Macedonia dalam aksi persahabatan pada 2013.
“Selepas 11 musim luar biasa, saya membuat keputusan sukar untuk meninggalkan Leicester. Ia lebih daripada sekadar kelab bagi saya, ia menjadi tempat saya mendapat kawan dan kenangan sepanjang hayat serta telah menjadi rumah saya
“Sebanyak 11 musim yang begitu istimewa dengan sokongan setiap individu di belakang tabir, di atas padang dan para penyokong Leicester.
“Sokongan anda amat mengagumkan dan saya sangat berterima kasih kepada anda semua,” tulis Schmeichel yang juga bekas kapten Leicester itu di Twitter.
Untuk rekod, Schmeichel adalah pengrekrutan ketiga Nice selepas kehadiran bekas bintang sensasi Arsenal dan Juventus, Aaron Ramsey dan pemain pertahanan Mattia Viti dari kelab Serie A Empoli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!