Berhentilah bergaduh isu deejay lompat stesen radio
SEJAK sehari dua ini, ribut sungguh mengenai isu deejay radio angkat kaki ke stesen lain.
Media sosial Merak Jalanan pun tidak terkecuali dilimpahi dengan berita deejay-deejay ini.
Ada cerita deejay berhenti mengejut, ada kisah bos lama terkilan, ada juga kata stesen radio kering idea curi deejay stesen lain dan macam-macam lagi.
Tapi yang Merak Jalanan paling tak sedap dengar dan baca, apabila kisah deejay lompat stesen lain ini diperbesarkan sampaikan individu yang tak terlibat pun sakan komen.
Sakan melondehkan kisah stesen radio tertentu yang kononnya tidak baik dan sebagainya.
Bagi Merak Jalanan, insiden staf lompat tempat kerja ini berlaku di mana-mana sahaja dan dalam pelbagai kerjaya bukan setakat dalam industri penyiaran radio.
Ada pemain bola sepak berpindah ke pasukan lebih hebat, ada peguam pula yang lompat ke firma guaman lebih baik dan ada juga wartawan yang angkat kaki ke syarikat media yang lebih terkenal.
Pokok pangkalnya tentulah beberapa sebab, antaranya gaji yang lebih tinggi, tawaran tertentu yang lebih baik seperti perubatan, suasana tempat bertugas dan tidak terkecuali peningkatan kerjaya.
Tidak perlulah rasanya sampai bergaduh sehingga saling melondehkan kisah-kisah yang tidak baik mengenai stesen dan mana-mana individu kepada umum.
Industri radio Malaysia pun bukanlah besar mana pun.
Selain radio-radio di bawah RTM, radio swasta lain di negara ini boleh dihitung dengan jari.
Kalau ada isu, eloklah selesaikan cara baik kerana datang dan perginya deejay itu lumrah bagi stesen radio.
Yang penting penyampai radio Malaysia terus kreatif dalam gaya penyampaian mereka untuk menggamit pendengar setia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!