Burger RM2 laris, dapat sambutan menggalakkan
KUALA TERENGGANU - “Ada pelanggan yang minta saya naikkan harga kepada RM2.50 tapi saya belum berhasrat untuk berbuat demikian,” kata Muhammad Badrul Amin Muhammad Rapingi, 22, yang menjual burger pada harga RM2 sebiji sejak dua tahun lalu.
Menurut Muhammad Badrul Amin yang berniaga di Jalan Budiman, di sini bermula jam 6 petang setiap hari kecuali Jumaat, harga tersebut akan dikekalkan selagi mana dia mampu bertahan dengan kenaikan kos harga barang mentah.
Beliau berkata, ini kerana jualan burger dengan harga mampu milik tersebut pada asalnya disasarkan kepada penduduk setempat yang berpendapatan rendah, pelajar sekolah dan mereka mempunyai jumlah anak ramai.
“Jadi, selagi boleh kekal saya akan kekalkan supaya lebih ramai dapat menikmati burger. Oleh itu, saya sentiasa berusaha meminimumkan kos dengan membeli barang di tempat atau pemborong yang menawarkan harga paling murah.
“Walaupun berharga RM2, saya tetap mementingkan kualiti agar pelanggan berpuas hati dengan wang mereka belanjakan. Setakat ini alhamdulillah, saya mendapat reaksi positif dari pembeli,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Berkongsi kisah permulaan perniagaan burger miliknya, bekas pembantu café di ibu negara itu berkata, ia bermula dua tahun lalu ketika dia mengambil keputusan pulang ke kampung untuk menjaga ibu selepas kematian bapanya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Ketika itu katanya, jualan burger dilakukan secara kecil-kecilan bersama seorang saudara di hadapan rumahnya di Kampung Kubur Kecil, Jalan Panji Alam, di sini dengan purata kira-kira 100 biji burger dapat dijual pada setiap hari.
Selepas lebih setahun beroperasi, dia mengambil keputusan berniaga di Jalan Budiman pula untuk kembangkan perniagaannya kerana lokasi lebih strategik dan ia membuahkan hasil apabila jualannya meningkat kepada 300 biji sehari.
“Namun saya terkejut apabila pelanggan meningkat sekali ganda bulan lepas selepas seorang pembeli memuat naik burger berharga RM2 ini dalam media sosial. Sekarang saya mampu menjual antara 500 hingga 600 biji sehari.
“Oleh kerana sambutan diterima begitu tinggi, saya juga membuka kembali gerai burger di depan rumah sejak tiga hari lalu dan turut mengupah lapan orang pekerja,” katanya yang merupakan anak kelima dari enam beradik.
Jelas Muhammad Badrul Amin, sambutan tersebut di luar dugaan namun dia berjanji untuk berusaha memberi perkhidmatan terbaik sekaligus menolak tanggapan bahawa burger yang dijual murah tidak sedap dan menggunakan barang kurang berkualiti.
“Saya mahu harganya biar berbaloi dengan rasa. Memandangkan ada permintaan, saya bercadang untuk mengembangkan perniagaan burger RM2 ini dengan membuka gerai di lokasi lain pula selepas ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!