Dua pemuda OKU bermotosikal kapcai jelajah Thailand, Laos

Khairul Azri (gambar kiri) dan Izzuan (gambar kanan) melakukan kembara selama 20 hari menjelajah Laos dan Thailand. - Foto sumber Khairul Azri dan FB Malacca Deaf Sports
Khairul Azri (gambar kiri) dan Izzuan (gambar kanan) melakukan kembara selama 20 hari menjelajah Laos dan Thailand. - Foto sumber Khairul Azri dan FB Malacca Deaf Sports
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pemuda orang kurang upaya (OKU) pendengaran mencabar diri mereka dengan bermotosikal kapcai menjelajah Laos dan Thailand yang jarak perjalanan keseluruhan hampir 6,000 kilometer (km), baru-baru ini.

Khairul Azri Zahari, 32, yang menunggang Honda EX5 dan rakannya, Izzuan Ahmad, 37, menunggang Honda Dash 125 melakukan kembara selama 20 hari bermula dari Kuala Lumpur sebelum menuju ke Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk memasuki Thailand dan Laos.

Berkongsi pengalaman itu, Khairul Azri berkata, bagi memudahkan komunikasi dengan masyarakat di negara itu, beliau dan Izzuan menggunakan bahasa isyarat dan banyak menaip di telefon bimbit serta menggunakan aplikasi Google Translate.

"Setiap kali berjumpa dengan rakyat tempatan mereka tidak lokek untuk menghulurkan bantuan, kami akan maklumkan yang kami tidak dapat mendengar dan bercakap. Alhamdulillah, mereka memahami dan setiap urusan dipermudahkan.

"Yang melegakan kami juga ialah tidak menghadapi banyak karenah birokrasi dengan pihak berkuasa di sempadan Thailand dan Laos ketika kami memasuki negara tersebut sebaliknya mereka terkejut dan teruja kerana kami adalah OKU pendengaran dari Malaysia,” katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Berkongsi lanjut, Khairul Azri yang berasal dari Terengganu berkata, jarak paling jauh dilakukan semasa kembara itu ialah dari bandar Hat Yai ke pekan Prachuap Khiri Khan, iaitu 666 km dengan mengambil masa12 jam menunggang motosikal melalui jalan kampung berturap selain hutan sepanjang perjalanan.

"Walaupun keletihan menunggang motosikal dengan jarak yang jauh kami tidak mudah mengalah dan kekal bersemangat namun sentiasa berhati-hati kerana keadaan cuaca panas dan hujan selain jalan yang berbukit, licin amat berbahaya di sesetengah tempat di Thailand dan Laos,” katanya yang sudah beberapa kali bermotosikal ke negara Gajah Putih itu sebelum pandemik Covid-19.

Sementara itu, Izzuan yang berasal dari Melaka berkat,a jumlah muatan seberat 18 kilogram yang dibawa bersama motosikalnya itu antaranya ialah makanan, khemah, dapur gas kecil, peralatan alat ganti seperti tiub dan tayar.

Izzuan berkata, pengalaman yang tidak dilupakan ialah dapat menunggang motosikal di Wilayah Mae Hong Son, iaitu kawasan tanah tinggi Utara Thailand yang menjadi antara laluan popular dalam kalangan penunggang yang mempunyai 1,864 selekoh dan berada pada ketinggian 1,200 meter dari aras laut yang menyajikan pemandangan sungguh menakjubkan.

"Walaupun kami OKU pendengaran dan menggunakan motosikal berkuasa rendah, kami bangga dapat sampai di sini (Mae Hong Son) yang menjadi kawasan wajib disinggahi bagi penunggang motosikal lain,” katanya yang menyimpan hasrat untuk bermotosikal ke Makkah pada masa akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!