Stor peluru meletup, hutan terbakar
BERLIN - Kebakaran besar berlaku pada Khamis di hutan popular di barat Berlin berikutan letupan di stor penyimpanan peluru polis Jerman.
Anggota-anggota bomba masih tidak dapat memadamkan api di kawasan seluas 15,000 meter persegi yang terjejas termasuk stor penyimpanan peluru polis.
Letupan masih berlaku di kawasan simpanan berdekatan hutan Grunewald, kata jurucakap perkhidmatan bomba Berlin.
“Keadaan tidak dapat diramalkan.
"Ia terbakar tanpa kawalan di dalam hutan,” tambahnya seperti dilaporkan AFP.
Sebuah helikopter polis mengelilingi kawasan itu ketika pihak berkuasa merayu agar orang ramai menjauhkan diri daripada mendekatinya.
Tapak di hutan Grunewald digunakan oleh polis Jerman untuk menyimpan dan meletupkan peluru-peluru lama.
Usaha anggota bomba untuk memadamkan kebakaran dihalang oleh letupan peluru yang boleh dilihat dan didengari dari jarak jauh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!