Gerakan Tanah Air bukan ancaman besar
KUBANG PASU - Gerakan Tanah Air (GTA) yang dibangunkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan memberi ancaman besar kepada parti politik Melayu sedia ada.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, walau bagaimanapun penubuhan gerakan itu dilihat akan membawa kepada perpecahan undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, situasi terbabit akan memberi keuntungan kepada pihak satu lagi terutama UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.
"Setakat ini penubuhan GTA tidak beri ancaman terlalu besar kerana BN memang dah kekal dengan kelompoknya, Pakatan Harapan dah 'established', Perikatan Nasional semakin lama semakin berkembang, Pas dan Bersatu dengan keahlian bertambah.
"Tetapi ia mungkin boleh membawa kepada perpecahan undi kerana kalau berlaku yang untungnya pihak satu lagi terutama di sebelah UMNO/BN dan Pakatan Harapan.
"Jadi ini perkara yang perlu diperhatikan dalam kita menghadapi PRU15," katanya ketika sidang media selepas Program Sihat bersama Wan Saiful di Tasik Darulaman di sini pada Jumaat.
Menurutnya, setakat ini Bersatu belum membuat keputusan sama ada akan turut serta dalam GTA.
"Saya rasa terlalu awal untuk bercakap mengenai itu, Tun M pun baru umum pelancaran gabungan tersebut.
"Saya rasa lebih elok kita tunggu dan lihat apa perancangan di pihak GTA sendiri kemudian baru kita fikir apa tindakan selanjutnya," katanya.
Pada Khamis, Dr Mahathir mengumumkan GTA sebagai gabungan parti politik baharu berlandaskan Melayu dan Islam bagi menentang UMNO dalam PRU15.
Jelasnya, ia melibatkan gabungan parti Pejuang, parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman), parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), badan bukan kerajaan (NGO), ahli profesional dan akademik serta individu tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!