AUG 2022: Wushu terus cemerlang tuai emas

Cheong Min ketika beraksi dalam acara Nanquan individu wanita di temasya AUG 2022
Cheong Min ketika beraksi dalam acara Nanquan individu wanita di temasya AUG 2022
A
A
A

SKUAD wushu negara terus menampilkan aksi cemerlang di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 apabila berjaya memperoleh satu pingat emas pada hari ketiga sukan itu dipertandingkan di temasya itu.

Pada aksi yang berlangsung di dewan Sunee Tower, emas yang diraih kem wushu itu hadir menerusi Tan Cheong Min yang mengungguli acara Nanquan individu wanita selepas mengutip 9.55 mata mengatasi pencabar terdekat dari Myanmar Aye Thitsar Myint yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 9.52 mata.

Tempat ketiga dimenangi atlet Singapura Josephine Lee Sze Min yang menamatkan saingan dengan kutipan 9.21 mata.

“Saya gembira kerana dapat meraih pingat emas di temasya ini selepas dua tahun tiada kejohanan gara-gara penularan Covid-19. Sebab sebelum ini saya juga tak bertanding di Sukan Sea Vietnam sebab tiada acara saya.

“Untuk persembahan saya pada hari ini, sebenarnya agak berpuas hati dan ia juga mencapai jangkaan yang diletakkan. Walaupun ada sedikit nervous tapi berjaya mengatasinya dengan baik,”kata Cheong Min.

Sementara itu, hasrat kem wushu untuk menambah emas tidak kesampaian selepas kedua-dua atlet negara iaitu Lee Jia Rong dan Tan Cheong Wan terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas dalam acara masing-masing.

Cheong wan yang sebelum ini berjaya mendapat pingat emas dalam acara Gunshu lelaki terpaksa akur tumpas kepada atlet Indonesia, Marvelo Edgar Xavier yang berjaya meraih 9.73 berbanding dia yang mendapat 9.63 mata.

Gangsa acara tersebut turut dimenangi atlet Indonesia, Siregar Seraf Naro yang memungut 9.6 mata.

Bagi Jia Rong pula, dia terpaksa akur berada di kedudukan kedua selepas meraih 9.54 mata berbanding atlet Singapura, Le Yin Shuen yang mendapat 9.59 mata, manakala gangsa dimenangi atlet Malaysia, Tammy Tan Hui Ling (9.46 mata)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!