Telaga dari kaki Yati kini hanya kenangan
KOTA BHARU - Lebih 30 tahun lalu, Kampung Keling Limbat terkenal di seluruh negara kerana sebuah telaga yang didakwa mula terbentuk dari tumit kaki seorang wanita bernama Yati.
Allahyarham Yati ketika itu berusia awal 20-an tinggal bersama ibu dan tiga adiknya.
Sinar Harian menyingkap semula kisah berkenaan dan bertemu adik tiri Allahyarham Yati dikenali sebagai Edi Osmera Wahab, 45, untuk mendengar kisah mengenai telaga tersebut.
Ketika itu, Edi Osmera sekeluarga tinggal menumpang di sebuah bangsal padi milik seorang penduduk kampung bersama ibunya, Siti Bidah Wahab, 60-an, Yati dan dua adiknya.
Menurut Edi Osmera, ketika itu dia berusia kira-kira 14 tahun dan tidak mampu meneruskan persekolahan kerana kemiskinan.
"Pada masa tersebut di rumah kami tiada telaga atau sumber air bersih.
"Jadi, setiap hari kami memunggah air dari rumah jiran atau mengambilnya dari tali air sejauh kira-kira 500 meter dari rumah selepas pulang dari menoreh getah," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung tersebut, pada Jumaat.
Bagaimanapun kata Edi Osmera, satu hari seorang tua melintasi kawasan itu ketika mereka sedang mandi dan bertanyakan kepada ibunya yang ketika itu sedang mengangkut air.
"Mek (panggilan untuk ibu) hanya menjawab di rumah tiada air. Orang tua berjubah putih itu kemudian mengangkat tangan dan berdoa.
"Katanya, "InsyaALLAH, selepas ni ada air yang tidak akan habis. Selepas seminggu, sememangnya ada kejadian tidak diduga berlaku," katanya.
Tambah Edi Osmera, petang sebelum kejadian, dia sedang memotong kayu sambil melihat dua adiknya bermain manakala kakaknya, Yati mundar-mandir di halaman rumah.
Mereka juga berbual mengenai kesedihan hidup kerana kesukaran mendapatkan air untuk melakukan rutin harian.
"Tiba-tiba keluar pancutan air dari tanah di bawah tumit kaki kakak. Beberapa ketika kawasan tanah semakin melebar dan paras air bertambah dalam. Airnya sangat sejuk dan jernih," katanya.
Ketika ditanya mengapa telaga itu menjadi terkenal sekelip mata, Edi Osmera berkata, ia bermula apabila ada individu menggunakannya untuk mandi dan minum tetapi kemudian mendakwa masalah kesihatan mereka pulih.
"Selepas itu, setiap hari ramai orang datang untuk mengambil air sebagai usaha perubatan. Alhamdulillah, kami bersyukur kerana selepas itu tidak lagi ada masalah untuk mendapatkan air malah kami berkongsi (telaga) bersama orang lain," katanya.
Menurut Edi Osmera lagi, kini telaga itu hanya tinggal kenangan.
"Cuma ada segelintir orang yang masih datang mengambil air untuk mandi dengan mendakwa sebagai usaha merawat demam tetapi saya tidak tahu sejauh mana keberkesanannya," ujar Edi Osmera.
Sementara itu, rakan Allahyarham Siti Bidah, Mek Jah Abd Rahman, 76, berkata, selepas kejadian pancutan air keluar dari tanah yang dipijak oleh tumit Yati, ramai penduduk kampung dan individu dari pelusuk negara datang ke rumah rakannya itu.
Menurut Mek Jah, kehidupan rakannya sekeluarga kemudian berubah dan mampu membaiki rumah hasil sumbangan orang ramai.
"Kehidupan Siti Bidah sekeluarga sebelum itu ibarat kais pagi makan pagi," katanya.
Mek Jah juga memberitahu, selalu menemani rakannya mencari belalang di tengah sawah pada waktu malam sebagai hidangan untuk anak-anak sebelum keluar menoreh getah keesokan harinya.
"Allahyarham seorang yang sangat baik. Saya juga selalu berkongsi apa yang ada untuk keluarganya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!