10 lelaki ditahan bersama senjata api tiruan
BENTONG- Seramai 10 lelaki berjaya diberkas dalam 10 serbuan di beberapa lokasi berasingan di negeri ini termasuk seorang pembuat senjata tiruan.
Dalam operasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bentong dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen (JSJK) negeri yang bermula sejak 23 Mac lalu dan berakhir semalam,10 laras senjata tiruan dan selaras senapang patah berlesen serta beberapa peralatan berjaya dirampas.
Ketua JSJK negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, turut dirampas 114 butir peluru penabur hasil daripada operasi tersebut.
Menurutnya, kesemua suspek pelbagai kaum termasuk seorang warga asing berusia 30 hingga 60 tahun itu diberkas di Temerloh, Bera dan Bentong.
"Turut ditahan seorang suspek berusia 54 tahun pada Rabu lalu dan lelaki terbabit menghasilkan senjata tiruan itu di rumahnya di Karak.
"Lelaki yang bekerja sendiri itu dipercayai telah aktif menghasilkan senjata terbabit sejak 2014 dan menjualnya dengan lingkungan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap satu," katanya dalam sidang media di IPD Bentong, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis daerah, Superintendan Yusuf Unis.
Ujarnya lagi, seorang lelaki di Bera dipercayai menjual peluru ditahan dan turut merampas senapang patah berlesen.
"Pada masa ini kesemua suspek ditahan reman dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 (Penalti Lebih Berat)," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!