UTeM perkukuh kerjasama antarabangsa dengan institusi di UAE

Dr Massila (dua dari kiri) menerima cenderamata penghargaan daripada Pengarah UNI Student, Dr Salleh Altahboush (kanan) dalam pertemuan baru-baru ini.
Dr Massila (dua dari kiri) menerima cenderamata penghargaan daripada Pengarah UNI Student, Dr Salleh Altahboush (kanan) dalam pertemuan baru-baru ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan terus memperkukuhkan jaringan strategik melalui bidang pendidikan dan kerjasama antarabangsanya bersama dua organisasi terpilih di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Naib Canselornya, Prof Dr Massila Kamalrudin berkata, rangka kerjasama bersama Advanced Materials Research Centre of Technology Innovation Institute dan UNI Student itu tertumpu kepada bidang penyelidikan serta teknologi.

Melalui pertemuan dan perbincangan bersama Pengarah UNI Student, Dr Salleh Altahboush, Massila berkata, kerjasama itu juga merangkumi pemerkasaan program pasca siswazah antarabangsa.

"Rangka kerjasama strategik ini tertumpu kepada dua agenda utama iaitu pemerkasaan program pasca siswazah antarabangsa dan kemajuan penyelidikan serta teknologi tinggi dunia.

"Hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE akan terus berkembang dalam pelbagai bidang yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Melalui inisiatif tersebut, beliau berkata, ia sekali gus dapat membina hubungan erat dengan UAE dalam agenda pertukaran pelajar, promosi akademik dan program lain yang berpotensi.

Tambahnya, selain keutamaan akademik, ia juga dilihat menjadi penanda aras baharu kepada kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dalam memastikan kemajuan dalam bidang penyelidikan dan teknologi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!