11,367 kes jenayah siber dari Januari hingga Julai tahun ini

Orang ramai perlu cakna dengan tipu helah atau tawaran dibuat oleh scammer sama ada ia logik atau tidak. - Foto Bernama
Orang ramai perlu cakna dengan tipu helah atau tawaran dibuat oleh scammer sama ada ia logik atau tidak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,367 kes atau 61 peratus jenayah siber direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos.

Beliau berkata, trend jenayah siber dari 2016 hingga Julai 2022 menunjukkan peningkatan daripada 39 peratus kepada 61 peratus.

Terdapat enam jenis penipuan dalam talian iaitu Macau Scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, 419 scam atau love scam, dan memancing data (phishing).

"Macau Scam atau panggilan penyamaran/penipuan sehingga kini merekodkan 4,912 kes melibatkan kerugian RM199.8 juta, jenayah e-dagang mencatatkan 5,397 kes dengan kerugian RM71.6 juta, dan e-financial fraud (penipuan kewangan dalam talian) atau phishing pula sebanyak 543 kes dengan kerugian RM40.5 juta,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Duit dalam akaun bank anda lesap. Apakah puncanya dan langkah mencegahnya’ pada Khamis.

Victor berkata, wang dalam akaun bank hilang ini berlaku sejak wujudnya phishing dan internet selain pihak bank juga menawarkan perkhidmatan secara dalam talian.

"Jadi apa yang dibuat oleh scammer adalah mereka mencipta satu laman web seakan-akan bank berkenaan.

"Selaras dengan perkembangan teknologi, scammer terfikir untuk buat apps scam (aplikasi scam), ini biasanya satu taktik phishing yang digunakan scammers untuk mendapatkan nama, kata laluan dan maklumat lain tentang pengguna,” katanya.

Beliau berkata, selepas pengguna memuat naik aplikasi scam ini, aplikasi tersebut akan minta untuk mengambil alih peranan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sekiranya pengguna membenarkan perkara tersebut maka ia memudahkan scammers untuk menjalankan aktiviti.

Menurut Victor, antara modus operandi yang biasa digunakan scammers ialah iklan-iklan di platform media sosial - apps scam merekodkan 39 kes melibatkan kerugian RM721,728.69 oleh individu tertentu dari Januari hingga Julai 2022.

"Mangsa sebenarnya yang melibatkan diri mereka tetapi kadang-kadang lupa bahawa mereka yang mendedahkan diri mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengurus (Bahagian Pertanyaan dan Aduan) Bank Negara Malaysia Vijayadurai Singgatore berkata, BNM sentiasa menyeru orang ramai untuk cakna dengan tipu helah atau tawaran dibuat oleh scammer sama ada ia logik atau tidak.

"Kita kena bijak guna teknologi, applikasi yang diberi melalui WhatsApp jangan mudah percaya, hyperlink yang diberi jangan main klik dan buat transaksi, itu mungkin perangkap,” katanya.

BNM dan pihak industri perbankan juga sentiasa meningkatkan taraf keselamatan supaya pengguna yakin dengan keselamatan sistem yang ditawarkan.

"Sekarang perbankan internet siap dengan gambar kena sepadan, captcha. Dalam masa sama ada banyak bank sudah meningkatkan tahap keselamatan dengan membuat ikatan peranti (device binding) iaitu sekiranya pengguna mahu buat perbankan internet, mesti guna peranti yang didaftarkan,” katanya.

Ketua pegawai eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee Muhammad berkata, sekiranya pengguna terlibat dengan aktiviti scam, mereka harus menghubungi pihak bank terlebih dahulu supaya akaun mereka dapat dibekukan serta-merta sebelum membuat laporan polis.

"Apabila pelanggan mengesyaki dia ditipu, lihat duit sudah hilang, saya menyarankan pelanggan untuk menghubungi pihak bank di talian khidmat pelanggan dan pada masa sama saya menyeru pelanggan untuk tukar nombor pin kad ATM dan juga kata laluan akses perbankan internet,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!