Pemanah para negara rangkul dua emas

Deneshen dan Nur Jannaton meraikan kejayaan mereka memenangi acara Memanah Berpasukan Campuran Compound pada Temasya Sukan Para ASEAN 2022 Solo. - Foto Bernama
Deneshen dan Nur Jannaton meraikan kejayaan mereka memenangi acara Memanah Berpasukan Campuran Compound pada Temasya Sukan Para ASEAN 2022 Solo. - Foto Bernama
A
A
A

TEPAT ke sasaran. Pemanah para negara merangkul dua emas menerusi acara compound berpasukan di Kota Barat Stadium, di sini pada Jumaat.

G Daneshen, 25, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara individu lelaki pada Khamis, bangkit dalam acara berpasukan untuk memenangi kedua-dua acara berpasukan lelaki dan berpasukan campuran.

Atlet dari Kulim itu bergandingan dengan Nur Jannaton Abdul Jalil untuk membawa pulang emas dalam acara berpasukan campuran selepas menewaskan pasukan Thailand Comsan Singpirom-Praphaporn Homjanthuek 144-139.

Daneshen, yang mengalami masalah saraf kaki sejak lahir akibat penyakit polio, kemudiannya bergabung kekuatan dengan Wiro Julin bagi meraih gelaran juara berpasukan lelaki, menewaskan Manangdang Angelo-Marzel Burgos dari Filipina 137-123.

"Saya sangat gembira menang pingat emas ini, pada mulanya gementar tetapi kami berjaya bertenang dan kekal fokus sehingga akhir. Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini memandangkan usaha dan kerja keras saya sepanjang 10 tahun lepas untuk mencapai sesuatu dalam sukan ini akhirnya berjaya.

"Saya terpaksa menempuh banyak kesusahan dalam hidup apabila ramai yang merendah-rendahkan saya kerana tidak mempunyai pencapaian bermakna, meskipun telah menceburi sukan memanah selama 10 tahun, tetapi saya tetap bersabar. Saya tidak akan berhenti di sini, akan terus bekerja keras untuk APG seterusnya di Kemboja dan Sukan Para Asia di Hangzhou tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Marzuki Zakaria gembira dengan aksi keseluruhan anak buahnya yang mencapai sasaran dua emas, satu perak dan satu gangsa (menerusi S Suresh dalam recurve individu lelaki)

"Bagaimanapun, sebagai seorang jurulatih saya sentiasa mengingatkan atlet bahawa jangan mudah puas hati dengan kejayaan ini kerana ada lagi hala tuju tahun depan, iaitu APG dan Hangzhou.

"Matlamat saya sebenarnya ingin melihat sekurang-kurangnya ada atlet layak secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya.

Kali terakhir APG dianjurkan di Kuala Lumpur 2017, memanah membawa pulang satu emas, dua perak dan tiga pingat yang merupakan suatu peningkatan daripada pungutan pingat 1-2-1 di Singapura pada 2015. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!