Gesa pinda hak kewarganegaraan anak lahir luar negara

Syed Saddiq mendengar keluhan ibu yang mempunyai anak dilahirkan di luar negara. - Foto FB Syed Saddiq
Syed Saddiq mendengar keluhan ibu yang mempunyai anak dilahirkan di luar negara. - Foto FB Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan mempercepatkan proses untuk mendapatkan kelulusan dari Majlis Raja-Raja bagi membolehkan hak kewarganegaraan diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berwarganegara Malaysia.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menjelaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah memberi maklum balas di Parlimen pada tahun lepas berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, bagi meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan perkataan ‘anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berwarganegara Malaysia’ dalam Bahagian II, Jadual Kedua, Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri mengambil serius berkenaan isu ini dan mempercepatkan proses untuk mendapatkan kelulusan dari Majlis Raja-Raja bagi membentangkan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen.

“Saya turut gesa semua ahli Parlimen untuk mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan dari Majlis Raja-Raja kerana ia merupakan soal hidup dan mati serta melibatkan masa depan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada Jumaat memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, hak kewarganegaraan adalah pintu kepada hak-hak lain sebagai seorang warganegara Malaysia.

“Seorang anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berwarganegara Malaysia patut diberikan hak sama rata seperti anak dilahirkan di luar negara oleh ayah berwarganegara Malaysia.

“Anak-anak ini berhak untuk mendapatkan hak yang sama rata seperti warganegara Malaysia lain dan mereka berhak mendapat hak untuk belajar di sekolah bersama-sama anak-anak Malaysia lain. Mereka juga rakyat Malaysia,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!