Nasib empat ADUN: Tunggu keputusan Mahkamah Tinggi

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Nasib empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan mengenai saman pemula yang dikemukakan mereka sebelum ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mengarahkan Peguamcara negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi memohon tarikh bagi menentukan saman pemula yang dikemukakan empat ADUN terbabit yang ditangguhkan sebelum ini, sementara menunggu penentuan Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri tetap bertegas dalam mempertahankan mandat diberikan pengundi dan menegaskan wakil rakyat yang dipilih mestilah bertanggungjawab dengan tindakan yang bertentangan dengan mandat yang diberikan kepada mereka.

“Sebarang keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi hendaklah menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi yang terjejas kosong itu, mengikut mana-mana yang berkenaan dengan berpandukan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah, berperlembagaan dan kekal seperti sedia ada.

"Oleh itu, tidak akan ada sebarang persidangan untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, empat ADUN iaitu ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim telah memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.

Keempat-empat ADUN berkenaan juga memfailkan saman untuk menghentikan kerusi disandang tidak dikosongkan.

Usul itu bagaimanapun ditangguhkan kerana penularan wabak Covid-19 selain mengelakkan pilihan raya negeri diadakan ketika pandemik.

Keputusan itu turut mengambil kira kes jangkitan Covid-19 melonjak selepas pilihan raya negeri Sabah diadakan.

Pada Rabu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Anti Lompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Kon Yeow pada 3 Ogos lalu, menyambut baik keputusan di buat Mahkamah Persekutuan berhubung Perkara 14 A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang sah dan berpelembagaan dan memaklumkan kerajaan negeri akan membincangkan nasib empat wakil rakyat negeri itu yang tidak lagi menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Jumaat.

Bagaimanapun, semalam, empat ADUN yang keluar daripada PH dan menyertai PN dalam kenyataan bersama memaklumkan mereka menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, namun tidak bersetuju dengannya dan meminta peguam mereka untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!