Maryam menang dua pingat emas di London
KUANTAN - Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan menerima pengiktirafan antarabangsa apabila merangkul dua pingat emas dalam The 22nd Annual British Invention Show Awards 2022.
Maryam Muzamir, 12, memenangi anugerah Double Gold Award dan Chairmans Special Recognition Award – Young Ambassador of Innovation dalam pertandingan reka cipta, inovasi dan teknologi paling berprestij serta paling lama di United Kingdom.
Bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan berkata, Maryam masih lagi mempertaruhkan produk diberi nama YAM 2.0: Sustainable Livestock Feed hasil inovasi makanan haiwan dihasilkan daripada kulit udang dan siput sedut.
Dia sekeluarga tidak menyangka, inovasi yang dihasilkan anaknya merangkul pingat emas selepas menerima berita mengenai kejayaan Maryam pada bulan Julai yang lalu.
“Pengerusi British Inventors Society, Kane Kramer dalam emelnya menyatakan kejayaan Maryam adalah sesuatu yang menakjubkan.
“Ini mungkin disebabkan Maryam memenangi anugerah utama pada usia yang masih muda dan terpaksa bersaing dengan peserta lebih dewasa serta berpengalaman dalam pertandingan kali ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Istana di sini pada Jumaat," katanya.
Muzamir menjelaskan sebelum ini, pertandingan itu diadakan secara fizikal di London namun selepas pandemik Covid-19, ia dijalankan secara dalam talian pada Mei lalu.
“Untuk pertandingan kali ini, Maryam perlu membuat video persembahan bagi menerangkan produk YAM 2.0 dan poster untuk dipersembahkan kepada juri bagi tujuan pengadilan”,” katanya.
Sementara itu, Maryam mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya, guru dan rakan di sekolah yang memberikan sokongan serta galakan terhadap minatnya dalam bidang inovasi.
“Maryam turut menjunjung kasih di atas kurniaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang sebelum ini mencemar duli menzahirkan kata-kata semangat dalam majlis mengadap baginda sebelum ini.
“Maryam juga amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kerana kementeriannya dan agensi di bawah beliau iaitu MyIPO telah menaja dan membantu Maryam untuk mendaftar paten hasil inovasinya di bawah harta intelek.
“Bantuan ini menjadikan hasil ciptaan Maryam lebih kuat dan mungkin menjadi faktor utama kejayaan tahun ini,” katanya.
Pada 18 September 2021, Sinar Harian melaporkan Maryam merangkul tiga anugerah utama di International Invention Innovation Competition in Canada (iCAN) 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!