AUG 2022: Skuad bola sepak gagal tamatkan kemarau emas

Antara aksi pemain Malaysia ketika menentang Thailand pada perlawanan akhir.
Antara aksi pemain Malaysia ketika menentang Thailand pada perlawanan akhir.
A
A
A

HASRAT skuad bola sepak menamatkan kemarau ibu segala pingat emas di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) tidak kesampaian apabila tewas tipis 1-2 di tangan tuan rumah, Thailand, pada Jumaat.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, skuad kendalian Ridzuan Abu Shah bermula baik pada awal permainan yang menyaksikan penguasaan bola lebih memihak kepada pasukan negara.

Bagaimanapun, Thailand terlebih dahulu memperoleh jaringan pendahuluan menerusi Chanmunti Kantinan pada minit ke-23.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia memperkemaskan corak permainan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Keasyikan Malaysia mencari jaringan itu bagaimanapun dihukum oleh Thailand yang berjaya mendapat gol kedua permainan menerusi Chanmuti sebelum wisel separuh masa pertama ditiupkan.

Memasuki babak kedua, Malaysia dilihat tidak mengalah apabila kerap melakukan serangan ke arah kubu lawan bagi mengurangkan defisit gol yang diraih Thailand.

Gol ditunggu-tunggu Malaysia itu hadir pada minit ke-78 yang dihasilkan menerusi Mohamad Syahir Abdul Rahman.

Bagaimanapun gol tersebut nyata belum cukup mengekang kemaraan skuad tuan rumah untuk sekali lagi bergelar juara pada edisi ke-20 ini.

"Seperti dilihat pada permulaan perlawanan nampak pemainan sedikit perlahan namun kemudian pihak lawan berjaya menghasilkan gol pertama mereka.

"Kita cuba bangkit namun berlaku kesilapan lagi bagi membolehkan Thailand menjaringkan gol. Gol pasukan negara berjaya dihasilkan namun di saat-saat akhir berlaku. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan mereka," kata Ridzuan.

Keputusan diraih skuad negara itu sekali gus menyamai pencapaian dilakar pada edisi 2008 di Kuala Lumpur ketika bertemu skuad Gajah Putih itu di pentas final.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!