JHEAIK pantau ajaran ‘Hadi Minallah’
ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memantau aktiviti kumpulan ajaran ‘Hadi Minallah’ agar tidak menular di negeri ini susulan tular video perhimpunan pertubuhan itu di Pulau Langkawi, Jun lalu.
Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kumpulan ajaran tersebut hanya menggunakan pulau peranginan itu sebagai lokasi perjumpaan yang menghimpunkan semua ahlinya dari negeri lain.
Menurutnya, pertubuhan yang dikatakan berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura itu tidak aktif di Kedah.
“Hasil siasatan juga mengesahkan belum ada cawangan ajaran tersebut di negeri ini termasuk di Langkawi yang dijadikan lokasi majlis mereka.
“Bagaimanapun, kita akan pantau kegiatan mereka dan akan mengambil tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mohd Yusri memaklumkan, JHEAIK akan bekerjasama dengan polis bagi mengenal pasti sama ada terdapat penduduk di negeri ini terlibat dengan ajaran pertubuhan terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan jauhi kumpulan itu kerana dikhuatiri terpesong daripada ajaran Islam,” katanya.
Terdahulu, video tular memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran tersebut dalam satu majlis di Langkawi yang dimuat naik di media sosial.
Sebahagian netizen melahirkan rasa kesal dan turut mengingatkan orang ramai agar jangan terpedaya dengan ajaran sesat ‘Hadi Minallah’ setelah dua video berkaitan kumpulan berkenaan tular sejak Khamis.
Dua video durasi tujuh minit 32 saat dan empat minit 31 saat itu dikongsi di laman Facebook beberapa individu dengan pesanan, ‘jangan mudah terpedaya’ selain meminta orang ramai ‘berhati-hati dengan dakyah’ disebarkan.
Berdasarkan video tular tersebut, kumpulan ajaran tersebut mengadakan majlis konvokesyen di Pulau Langkawi pada 10 hingga 13 Jun lepas.
Pasangan suami isteri berpakaian serba putih dilihat naik ke pentas menerima sijil daripada pengasas, di mana si isteri secara sukarela bersalaman dan mencium tangan pengasas tersebut selain dia dilihat memeluk dan mengusap belakang wanita itu.
Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya menyekat dan mengambil tindakan terhadap kumpulan ajaran ‘Hadi Minallah’.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan kumpulan tersebut yang aktif menyebarkan dakyah melalui siaran langsung di akaun YouTube bernama Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.
"Kita mengaji di tempat-tempat, surau, masjid. Jadi apabila dia mengajar di tempat yang bukan tempat yang sepatutnya, perkara itu perlu dinilai semula. Dia mengajar di rumahnya, dalam hutan, mengajar dalam gua atau sebagainya, itu perkara yang pelik,” katanya di Putrajaya.
Idris turut mengingatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa apabila melihat perkara yang menyimpang daripada ajaran Islam di media sosial.
"Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada masyarakat Malaysia yang saya rasa lebih maju, cerdik, peka dari segi media sosial sebagainya dan boleh melihat mana betul, mana salah, tidak sepatutnya berlaku begitu.
“Nasihat saya ialah supaya apa perkara sekali pun mesti perlu mengaji dan berguru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!