Kejayaan Khairul Aming dapat perhatian Tun M
SHAH ALAM - Kejayaan usahawan muda, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming yang berjaya membuka kilang kedua bagi perniagaan produk sambalnya mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir menzahirkan ucapan tahniah beliau dan berharap kejayaan Khairul Aming yang juga pempengaruh media sosial itu dapat dicontohi.
"Saya ikuti kisah Khairul Aming yang dahulunya seorang content creator (penyedia kandungan) resipi ringkas memasak hingga dapat sambutan luar biasa dan buka kilang sambal sendiri.
"Syabas anak Melayu yang berani keluar dari kepompong keselesaan. Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak muda lain.
"Ya, hanya yang cekal dan tabah dapat membina kejayaan. Tahniah Aming!,"katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Menerusi perkongsian di media sosial, Khairul Aming mendedahkan penjualan produk Sambal Nyet miliknya telah mencecah satu juta botol setelah setahun setengah diperkenalkan di pasaran.
Angka itu sekali gus menjadikan jualan keseluruhan produk berkenaan berjumlah RM14 juta.
Khairul Aming turut mengumumkan bakal menambah sebuah lagi kilang di Kota Bharu, Kelantan seluas 22,000 kaki persegi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!