Penduduk sokong PTP dibina di Bertam

Wakil penduduk, Mazlan Abdul menyerahkan memorandum kepada Norliana.
Wakil penduduk, Mazlan Abdul menyerahkan memorandum kepada Norliana.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sekumpulan penduduk menyatakan sokongan terhadap cadangan pembinaan Taman Teknologi Pulau Pinang (PTP) di Bertam di sini bagi merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.

Bagi mereka, sekiranya projek itu dapat dilaksanakan ia bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di sini malah bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk yang selama ini terpaksa mencari rezeki di kawasan pulau dan beberapa tempat lain.

Muhammad Ammir Zulkefli, 27 berkata, beliau yang sebelum itu membantah cadangan pembinaan kuarters penginapan berpusat (CLQ) yang akan menempatkan pekerja asing, bagaimanapun menyokong PTP selepas CLQ dibatalkan.

"Memang sebelum ini kami menentang pembinaan CLQ kerana tidak mahu kawasan ini dibanjiri warga asing tetapi kami tidak menolak pembangunan PTP.

"Banyak manfaat yang boleh diperoleh kerana dengan adanya kilang, banyak peluang pekerjaan terbuka luas khususnya untuk orang muda yang banyak menganggur berikutan pandemik Covid-19 sebelum ini," katanya ketika ditemui media selepas menyerahkan memorandum sokongan terhadap projek PTP di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara, di sini pada Jumaat.

Memorandum itu diterima, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Norliana Ismail.

Muhammad Ammir berkata, kebanyakan anak muda dan golongan pertengahan di kawasan ini terpaksa berulang alik ke kawasan pulau dan Nibong Tebal bagi mencari rezeki di sektor perkilangan.

Menurutnya, mereka terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi untuk bersiap ke tempat kerja dan pulang pula pada jam 8 malam setiap hari hinggakan tiada masa untuk bersosial dan bermasyarakat dengan penduduk setempat.

"Dengan wujudnya kawasan taman industri di kawasan ini ianya akan memberi kelegaan kepada anak muda untuk mendapat peluang pekerjaan dengan jarak perjalanan yang singkat.

"Sekiranya projek ini dilaksanakan banyak pelaburan oleh industri berteknologi tinggi sebagaimana yang berlaku di Batu Kawan malah ia akan memajukan kawasan ini dan ini sudah semestinya akan merancakkan ekonomi penduduk di kawasan ini," katanya

Sementara itu, seorang lagi penduduk Norliana Mat, 42 berkata, dengan wujudnya PTP nanti ia akan menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan anak muda dan akan membangunkan lagi kawasan Bertam dengan perniagaan yang diusahakan penduduk tempatan.

"Projek pembangunan ini dilihat akan merancakkan ekonomi penduduk sekitar terutama peniaga makanan dan minuman selain mampu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada golongan muda.

"Saya berharap projek ini dapat dijalankan segera untuk kepentingan rakyat setempat dan kemajuan negeri kita," katanya.

Pada Khamis, kerajaan negeri mengumumkan pihak pemaju, Lestari Duta bersetuju membatalkan pembinaan asrama warga asing seperti terkandung dalam pelan terdahulu.

Pembatalan dibuat selepas mengambil kira pandangan dari pemegang taruh, termasuk penduduk berjiran dan jabatan-jabatan teknikal terbabit.

Bagaimanapun, pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!