AUG 2022: Tiada hari tanpa pingat
ACARA wushu dan silat Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 menutup tirai pada Jumaat dan apa yang pasti, perjuangan barisan atlet negara daripada dua acara berkenaan tidak menghampakan.
Wushu menamatkan saingan dengan pencapaian satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa manakala skuad silat mengakhirinya dengan menghadiahkan satu gangsa.
Skuad bola sepak yang berdepan Thailand pada perlawanan akhir juga mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kempen mereka dengan menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen negara.
Pencapaian skuad bimbingan Ridzuan Abu Shah serta dua pembantunya, Mohd Norhisham Hassan dan Ashzar Yahya itu wajar diberi pujian kerana berjaya mengatasi apa juga bentuk cabaran yang mereka lalui sepanjang mengharungi saingan AUG 2022.
Ia dianggap pencapaian terbaik selepas kali terakhir melangkah ke final pada edisi AUG 2008 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Harimau Siswa turut meraih pingat perak.
Meskipun tampil dengan aksi terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi mereka selepas tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi final.
Dua gol Thailand pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh Chanmunti Kantinan pada separuh masa pertama manakala Mohamad Syahir Abdul Rahman menjaringkan gol tungga skuad negara pada penghujung babak kedua.
Berdasarkan pencapaian semua pasukan sehingga kini, boleh dikatakan bahawa tiada hari tanpa pingat buat kontinjen negara pada temasya AUG kali ini dan ia sesuatu yang harus menjadi kebanggaan semua.
Sasaran awal 35 pingat emas yang ditetapkan oleh pihak pengurusan kontinjen negara sudah berjaya disempurnakan dengan baik dan sasaran baharu iaitu 45 emas juga dicapai dengan mudah.
Selain itu, beberapa kejutan turut dilakar khususnya bagi acara catur yang menyaksikan pasukan bimbingan Mohd Ezmi Mahmood itu menyapu bersih empat emas yang dipertandingkan. Begitu juga dengan acara olahraga dan juga karate.
Sukan lain juga tidak kurang hebatnya kerana beberapa atlet mereka turut tampil cemerlang untuk melakar nama sebagai pemenang pingat menerusi acara yang mereka sertai.
Lebih menarik, pingat yang diraih oleh kontinjen negara pada temasya kali ini boleh dikatakan seimbang kerana ia hadir daripada semua sukan atau pasukan yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara di Ubon Ratchathani ini.
Baik pingat emas, perak mahupun gangsa, ia hadir daripada setiap acara yang dipertandingkan di AUG 2022 ini. Hebat dan menakjubkan!
Saingan pada sebelah pagi hari ini menyaksikan wushu menghadiahkan emas menerusi kehebatan Tan Cheong Min dalam acara nangquan wanita.
Pada aksi final, Cheong Min meraih 9.55 mata dan ia sudah cukup untuk membolehkannya menggenggam emas, mengatasi dua pencabarnya dari Myanmar dan Singapura.
Rentak cemerlang Cheong Min itu diteruskan oleh Tan Cheong Wan yang menang pingat perak dalam acara daoshu lelaki serta Lee Jia Rong daam acara qiangshu wanita.
Gangsa acara wushu hari ini disumbangkan oleh Tammy Tan Hui Ling dalam acara qiangshu wanita.
“Saya puas dengan pencapain di AUG ini. Impian saya adalah untuk menang dan teus fokus bagi memberikan aksi terbaik. Saya berasa bangga kerana berjaya menyumbangkan pingat buat negara,” jelas Cheong Min.
Skuad mendayung turut melakar kejutan di medan mendayung Sisaket apabila pasukan lelaki empat pendayung menamatkan saingan dengan kemenangan pingat perak dalam acara 1000 meter.
Mereka merekodkan masa 3:41.95s di belakang pemenang emas, Thailand yang mencatakan masa 3:22.98s.
Acara silat juga menamatkan kempen mereka dengan satu gangsa iaitu menerusi Muhammad Fitri Naim Azmi dalam acara kelas E putra.
Taekwondo turut menyumbangkan satu pingat perak hari ini menerusi Ahmad Nor Iman Hakim Rakib dalam acara bawah 68 kilogram.
Selepas selesai acara taekwondo hari ini, skuad tersebut menyumbangkan keseluruhan satu emas, enam perak dan satu gangsa buat kontinjen negara.
Esok skuad bola keranjang lelaki dan wanita akan beraksi dalam perlawanan akhir dan lawan mereka adalah pasukan tuan rumah, Thailand.
Setakat ini, kontinjen Malaysia kekal berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan pungutan 47 emas, 78 perak dan 45 pingat gangsa. Thailand kekal memimpin carta dengan pencapaian 99 emas, 57 perak dan 41 gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!