2022 tahun paling kering, panas dalam sejarah Itali

Itali berdepan musim kemarau terburuk dalam beberapa dekad dan mengalami siri gelombang haba panjang. - Gambar hiasan
Itali berdepan musim kemarau terburuk dalam beberapa dekad dan mengalami siri gelombang haba panjang. - Gambar hiasan
A
A
A

ROM - Bacaan suhu untuk tempoh Januari hingga Julai tahun ini direkodkan sebagai tahun paling panas dan kering dalam sejarah Itali, menurut data dikeluarkan Institut Sains dan Perubahan Iklim Majlis Penyelidikan Kebangsaan (ISAC- CNR), pada Jumaat.

Suhu pada Januari hingga Julai adalah sekitar 0.98 darjah Celcius melebihi purata untuk tempoh sejak 1800, lapor Agensi Berita Itali (ANSA).

Sementara itu, suhu pada Julai telah melebihi purata 2.26 darjah Celcius.

"Jika 2022 berakhir sekarang, ia akan menjadi tahun paling panas pernah direkodkan.

"Julai 2022 mencatatkan suhu kedua tertinggi sejak bacaan mula direkodkan, kedua tertinggi selepas 2003, seperti yang berlaku pada Mei dan Jun," kata pegawai ISAC-CNR Michele Brunetti kepada ANSA.

Tahun paling panas di Itali ialah 2018, apabila suhu mencecah 1.58 darjah Celcius melebihi purata.

Itali kini berdepan musim kemarau terburuk dalam beberapa dekad dan mengalami siri gelombang haba yang panjang.

Para saintis mendakwa kemarau dan gelombang haba menjadi lebih kerap kerana perubahan iklim yang disebabkan aktiviti manusia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!