Cuai punca tiga beranak maut, anak saudara parah
KOTA KINABALU - Cuai dan memandu secara melulu dipercayai punca pemandu serta dua anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Lintas berhampiran bawah jejambat Luyang di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian jam 11.24 malam itu, mangsa lelaki Filipina yang juga pemandu pacuan empat roda berusia 44 tahun bersama dua anaknya dikenali sebagai Alkail, 16 dan Sazfa, 11, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang lagi anak kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang juga anak saudara pemandu sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dalam perjalanan dari arah Rampayan menuju ke jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) melalui Jalan Lintas.
"Sebaik tiba di lokasi, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebuah tiang besar jejambat berhampiran.
"Akibat kejadian itu, remaja lelaki dan sepupunya yang duduk di bahagian belakang penumpang tercampak keluar dari kenderaan, manakala pemandu dan anaknya yang duduk di bahagian hadapan tersepit dalam kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, usaha mengeluarkan kedua-dua mangsa tersepit dilakukan sebelum tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi.
"Seorang mangsa membabitkan kanak-kanak mengalami kecederaan parah di kepala dan sedang menerima rawatan rapi di Zon Merah HQEI.
"Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu sendiri yang memandu dengan melulu di permukaan jalan yang licin akibat hujan, namun siasatan masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!