MOM sokong angkat berat kembali dalam sukan teras
A
A
A
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kemasukan semula angkat berat ke dalam program sukan teras wajar setelah pencapaian mereka membawa pulang dua emas dan satu perak pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 merupakan titik tolak kebangkitan semula serta kegemilangan sukan itu.
Beliau juga memuji kepimpinan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) di bawah Presidennya, Datuk Ayub Rahmat kerana angkat berat dilanda isu doping sewaktu beliau mengambil badan induk sukan itu.
Malah, katanya PABM telah mengambil keputusan drastik tidak akan menghantar atlet bertanding ke luar negara selagi mereka tidak membersikan diri daripada isu bahan terlarang berkenaan.
"Selepas itu kita lihat ada banyak kemajuan daripada sukan angkat berat, maka saya sokong penuh dari segi harapan dan aspirasi mereka untuk meminta dikembalikan sukan angkat berat sebagai sukan teras,” katanya dalam satu perjumpaan bersama media Malaysia di sini pada Jumaat.
Dalam saingan di Pusat Pameran Nasional (NEC) Birmingham di sini, skuad bimbingan Yon Haryono itu meraih emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg) manakala Muhammad Erry Hidayat menyumbang perak dalam kategori 73kg.
Sebagai rekod, angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.
Pada temasya kali ini, skuad negara menghantar tujuh peserta termasuk dua wanita.
Selain Muhamad Aznil, Mohamad Aniq dan Muhammad Erry, atlet lain adalah Mohamad Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg), Elly Cascandra Engelbert (55kg) dan Marceeta Marylyne Marcus (59kg). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!