Dakwa Imam Mahdi muncul pada hari Arafah
SEREMBAN - Mendakwa akan berlaku kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lalu antara punca Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah yang dipimpin Habib Shah Firdaus Habih Ahmad diarahkan ditutup oleh pihak berkuasa.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, berdasarkan maklumat dipercayai separuh daripada 300 pengikut Habib Shah Firdaus Habih Ahmad yang berada di Arab Saudi sejak Mac lalu sudah pulang ke Malaysia selepas mendapati tiada apa-apa berlaku pada hari Arafah.
"Mereka kemudiannya datang dan membuat laporan kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Bagaimanapun, pemimpinnya (Habib Shah Firdaus Habih Ahmad) masih berada di sana.
"...Dan dipercayai juga baki pengikutnya ada yang tidak dapat pulang (Malaysia) kerana kehabisan wang dan ada yang tidak mahu pulang," katanya pada Sabtu.
Mohd Yusof berkata, selepas peristiwa besar itu tidak berlaku, Habib Shah Firdaus bersama pengikutnya yang masih tinggal di situ menunggu pula tarikh 10 Muharam bagi menantikan peristiwa sama.
"Saya turut difahamkan ada ahli tarekat lain yang bukan di bawah pimpinannya ketika mengerjakan haji baru-baru ini, ternampak Habib Shah Firdaus malah memujuknya untuk pulang ke Malaysia, namun dia enggan malah berkeras untuk terus berada di sana," katanya.
Jelas Mohd Yusof, dalam tempoh enam bulan ini, pihaknya akan membuat siasatan dan pihaknya juga ada berhubung dengan pihak Konsulat Malaysia di Jeddah, sebab pihak konsulat pasti tahu di mana dia berada.
"Saya yakin kerajaan jika mahu tahan dia pun boleh iaitu hasil kerjasama dengan pihak berkuasa di sana, tetapi setakat ini kami masih tunggu dan melihat apa yang dia mahu buat pada 10 Muharam (8 Ogos) ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, perkara lain yang menyebabkan pengikutnya hilang kepercayaan semasa di Arab Saudi adalah amalannya yang melakukan tiga kali sujud ketika solat dengan sujud yang terakhir dia dikatakan mengucup sejadah.
“Selepas sujud dua kali, sepatutnya kita bangun, tetapi dia sujud sekali lagi sebelum mengucup sejadah, itu diberitahu oleh pengikutnya yang telah pun tidak bersamanya lagi,” katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, sebuah pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Labu di sini diarahkan tutup selama enam bulan susulan terdapat aduan mengenai perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.
Penutupan pusat itu dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan sama ada membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!