APM Besut terima 209 aduan tebuan tahun ini

Anggota APM membakar sarang tebuan. - Foto: Ihsan APM
Anggota APM membakar sarang tebuan. - Foto: Ihsan APM
A
A
A

BESUT – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut menerima 209 aduan berkaitan sarang tebuan yang boleh mengancam keselamatan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pegawai APM Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, jumlah itu dilihat menurun berbanding 356 aduan dilaporkan kepada jabatan tersebut dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Menurut beliau, kebanyakan laporan tentang ancaman tebuan melibatkan rumah kediaman dan operasi memusnahkan sarang haiwan berkenaan akan dilakukan oleh pasukan APM bagi mengelak serangan kepada manusia.

“Selepas aduan diterima melalui talian kecemasan MERS 999, anggota APM akan melakukan tinjauan terlebih dahulu di lokasi kejadian bagi mengenalpasti kedudukan sarang tebuan untuk dimusnahkan.

“Operasi memusnahkan sarang tebuan dilakukan menggunakan penyembur racun serangga dan dibakar. Biasa ia dibuat pada waktu malam supaya tebuan tidak bertindak agresif serta mengganggu jiran,” katanya, pada Sabtu.

Ramlan Ros berkata, sebanyak 717 aduan berkaitan tebuan direkodkan APM Besut sepanjang tahun lepas dengan laporan paling tinggi diterima sekitar bulan Jun hingga Ogos iaitu antara 120 hingga 150 kes.

Kata beliau, kewujudan sarang tebuan tidak wajar dipandang ringan kerana sengatan haiwan tersebut boleh meragut nyawa terutama golongan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai alahan.

Sehubungan itu, Ramlan Ros menasihati orang ramai supaya menghubungi MERS 999 sekiranya mengesan kehadiran tebuan supaya tindakan segera boleh diambil sekali gus menjamin keselamatan diri sendiri dan orang ramai.

“Tebuan boleh bersarang di mana-mana sahaja sama ada atas pokok dalam siling rumah atau di luar kediaman.

“Jadi, kena sentiasa berhati-hati kerana adakalanya penghuni tidak perasan ada sarang tebuan yang sudah membesar di rumah terutama di tempat tersembunyi seperti siling,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!