Generasi muda jangan hanya tunggu, cari peluang sendiri

Penulis buku, Raja Ahmad Aminullah (kanan) bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (tengah) dan Pengasas Gerak Budaya, Chong Ton Sin sempena majlis pelancaran buku Genta Telah Berbunyi, pada Sabtu.
Penulis buku, Raja Ahmad Aminullah (kanan) bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (tengah) dan Pengasas Gerak Budaya, Chong Ton Sin sempena majlis pelancaran buku Genta Telah Berbunyi, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Generasi muda perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mencari peluang terbaik menyuarakan pendapat mereka dan tidak hanya menunggu ruang diberikan.

Penulis buku, Raja Ahmad Aminullah berkata, golongan tersebut seharusnya tidak berharap mendapatkan ruang untuk melontar pandangan tetapi mewujudkan peluang berkenaan.

“Pada saya ruang itu memang kurang mencukupi, tetapi kadang-kadang, ruang ini tidak boleh diharap (tetapi) harus mencari ruang itu sendiri.

“Dalam masa sama saya menggesa pihak yang berkuasa memberi ruang dan golongan muda pula jangan hanya tunggu peluang itu agar pandangan mereka tidak tenggelam dalam perbincangan atau perbicaraan.

“Jadi jangan tunggu jika tidak dijemput, jadilah mandiri, berdiri atas kaki sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran buku ‘Genta Telah Berbunyi’, pada Sabtu.

Buku terbaharu tulisan beliau itu dilancarkan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Dalam pada itu Raja Ahmad berkata, suara generasi muda seringkali tenggelam dalam perbicaraan mengenai sesuatu isu yang berlaku dalam negara sedangkan hanya golongan itu mengenali semangat zamannya.

"Golongan ini bukan hanya pemimpin masa depan malah menjadi pemimpin yang memimpin golongan lebih muda dan seangkatan dengannya.

"Memberi ruang yang luas kepada generasi baharu untuk beri pandangan dan perspektif sama ada dari segi sasterawi atau budaya, itu sangat penting.

“Oleh itu kita perlu bersedia memberi ruang kepada anak muda untuk lebih berperanan daripada apa yang disaksikan masa ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!