FIFA lancar platform jualan semula tiket Piala Dunia 2022
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melancarkan Platform Jualan Semula Tiket Rasmi untuk Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan peminat yang telah membeli tiket mereka melalui platform rasmi FIFA boleh menjualnya semula di platform itu.
Tempoh jualan semula tiket Piala Dunia FIFA Qatar 2022 akan ditutup pada 16 Ogos jam 12 tengah hari waktu Doha.
Menurut Agensi Berita Qatar (QNA), badan induk bolasepak dunia itu akan membuat satu lagi tempoh jualan semula Tiket FIFA pada tarikh dekat dengan kejohanan itu.
Orang awam yang membeli tiket Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara dalam talian menurut Syarat Jualan Tiket Dalam Talian untuk Orang Ramai boleh menyerahkan tiket itu untuk dijual semula di Platform Jualan Semula Tiket Rasmi FIFA, dengan mengakses akaun Tiket FIFA mereka dan memilih pilihan "Tiket untuk dijual semula" di menu paparannya, lapornya.
Pautan berasingan disediakan untuk pelanggan antarabangsa dan penduduk Qatar.
Mereka yang berminat untuk membeli tiket yang disediakan dalam Platform Jualan Semula Tiket Rasmi FIFA boleh menyemak pautan yang berkaitan di laman sesawang FIFA. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!