AUG 2022: Philippa fokus Sukan SEA Kemboja
ATLET lawan pedang negara, Philippa Jean Ong Ziyi mahu menjadikan pingat emas dimenanginya di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 sebagai pembakar semangat untuk melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi.
Philippa merupakan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Taylor itu menyasarkan untuk mengungguli acara foil individu wanita di Terbuka Malaysia dijadualkan bermula 25 Ogos ini untuk mencerahkan peluangnya mewakili Malaysia di temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
“Saya mahu pergi lebih jauh dalam sukan lawan pedang ini selepas meraih emas di temasya AUG kali ini. Sebenarnya saya sudah menetapkan sasaran jangka masa pendek dan panjang untuk karier saya.
“Untuk permulaan saya mahu menjadi juara dalam acara saya di kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi kerana beri peluang saya untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA Kemboja.
“Selepas itu, sekiranya saya berjaya mewakili Malaysia di Sukan SEA Kemboja, saya menyasarkan untuk tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya mahu sekurang-kurangnya menamatkan saingan dengan meraih gangsa,” katanya.
Sebelum ini, Philippa mencipta sensasi apabila berjaya menyumbang emas buat kontinjen negara di AUG 2022 selepas mengungguli acara foil individu wanita.
Pada perlawanan akhir itu, Philippa tidak berdepan masalah untuk menewaskan atlet tuan rumah, Doungpattra Sasinpat dengan keputusan 15-10.
Sementara itu, atlet berusia 18 tahun itu turut berhasrat untuk mewakili Malaysia di pentas Olimpik satu hari nanti.
Dia bagaimanapun mengakui masih banyak perlu dilakukan bagi mengejar cita-citanya.
“Cita-cita terbesar saya sudah tentu untuk bertanding di Olimpik satu hari ini. Bagaimanapun sekiranya saya mahu bertanding di pentas Olimpik, saya perlu melalui banyak fasa seperti bertanding di Sukan Asia dan juga kejohanan dunia lawan pedang.
“Justeru, banyak kerja dan usaha perlu dilakukan. Saya percaya satu hari nanti impian tersebut mampu direalisasikan,” katanya akan bertanding di temasya Sukan Universiti Dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!