Buku 'Genta Telah Berbunyi' revolusi pemikiran

Raja Ahmad bersama karya baharunya bertajuk ‘Genta Telah Berbunyi: Masa Untuk Generasi Baru’.
Raja Ahmad bersama karya baharunya bertajuk ‘Genta Telah Berbunyi: Masa Untuk Generasi Baru’.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buku terbaharu karya penulis Raja Ahmad Aminullah, ‘Genta Telah Berbunyi: Masa Untuk Generasi Baru’ menggambarkan betapa pentingnya mengenali kelemahan diri dan seterusnya berusaha untuk melakukan revolusi pemikiran demi menjayakan kewujudan masyarakat hasanah, adil dan saksama.

Menerusi naskhah tersebut, Raja Ahmad berpandangan masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan itu, namun tindakan segera perlu diambil sekiranya visi masyarakat dan bangsa yang progresif mahu dijayakan.

Raja Ahmad memulakan kandungan buku tersebut dengan Bab 1 yang diberi tajuk ‘Zaman Edan’ iaitu zaman gila yang didahului dengan sembilan patah kata iaitu muak, mual, jemu, bosan, 'fed-up', menjengkelkan, pecah amanah, penyelewengan, pengkhianatan yang disifatkan oleh Profesor Emeritus Abdul Halim Ali, (yang menulis Kata Pengantar buku ini) sebagai ‘daftar jeritan rakyat’.

Dalam buku ini Raja Ahmad turut mencadangkan supaya dua prinsip Islam iaitu lita’arafu dan rahmatan lil alamin diaplikasikan bagi meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai bahasa, kaum, budaya dan agama.

Beliau menekankan bahawa ruang politik bukanlah untuk membina kekayaan dan kemewahan peribadi tetapi khidmat untuk menegakkan perjuangan murni.

Bab seterusnya iaitu intelektual dan memandaikan bangsa yang melihat tugas tersebut tidak boleh diamanahkan kepada orang politik kerana mereka sendiri melanggar nilai-nilai murni yang akhirnya tidak boleh diharap untuk memandu bangsa ke arah kejayaan.

Justeru, Raja Ahmad menegaskan, budaya ilmu perlu dihidupkan dengan meletakkan ilmu dan ilmuwan tempat paling atas yang mana setiap keputusan dan tindakan adalah berasaskan ilmu.

Perkara paling penting dalam buku ini ialah haluan masa depan negara yang tidak boleh membiarkan sembilan patah kata di permulaan bab berterusan kerana ia akan menjadikan masyarakat hilang kepedulian, optimisme dan harapan.

Tegas Raja Ahmad di bab terakhir, langkah segera perlu diambil untuk mengenali kelemahan dan seterusnya berusaha melakukan revolusi pemikiran demi menjayakan kewujudan masyarakat hasanah, adil dan saksama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!