Projek LCS: SPRM di peringkat akhir siasatan
KUALA LUMPUR - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dalam perolehan lima buah kapal tempur pesisir (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berada di peringkat terakhir.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan masih tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan maklumat sensitif dan rahsia.
"Siasatan berkenaan perkara itu memang sudah dijalankan sudah banyak tahun, sekarang saya tak nak umumkan lagi siasatan berada di peringkat mana dan apakah keputusannya demi menjaga sensitiviti.
"Ramai mempersoalkan seolah-olah kami (SPRM) tidak menjalankan siasatan, banyak kali saya kata SPRM sudah siasat dan dalam peringkat akhir penyiasatan. Banyak kali saya pernah sebut perkara ini.
"Saya kena jaga sensitiviti berkaitan hal-hal penyiasatan dan juga kerahsiaan kes tersebut, ini kerana ia bukan sahaja melibatkan SPRM bahkan juga membabitkan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang media di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta, di sini pada Sabtu.
Azam bagaimanapun memberi jaminan bahawa penemuan siasatan terbabit akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai dalam masa terdekat.
"Sebelum itu, saya kena bincang perkara ini dengan pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak yang terlibat barulah kita boleh buat kenyataan," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa pendakwaan berhubung kes perolehan tersebut supaya disegerakan.
Tegasnya, gesaan itu merupakan antara beberapa syor diberikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan kajian daya maju yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan kapal tersebut gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!