Kesilapan sendiri punca Harimau Kumbang tumbang
KESILAPAN sendiri disifatkan sebagai punca utama kekalahan 1-6 Penang FC kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat.
Pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan berkata, biarpun bermula baik pada awal permainan, namun dek kesilapan dilakukan benteng pertahanan menyaksikan JDT berjaya memecah kebuntuan jaringan.
“Bagi saya tidak dinafikan kehebatan lawan. Kami bermula dengan baik sehingga minit ke-20, buat silap yang berikan lawan menjaringkan gol.
“Sebelum itu, kami berjaya bertahan dengan baik selain berjaya melakukan serangan balas..tetapi banyak kesilapan yang dilakukan selepas itu dan menyaksikan terus dihukum oleh lawan.
“Secara keseluruhannya, pemain saya selepas ini perlu bersedia apabila berdepan dengan lawan seperti JDT di mana kita memang tidak boleh buat silap kerana akan ‘dihukum’ oleh pasukan lawan,” katanya.
Dalam aksi berkenaan, JDT membuka jaringan menerusi Bergsib Da Silva pada minit ke-20 sebelum Fernando Forestieri menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-26.
Bersambung babak kedua, pemain lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-48 sebelum sekali lagi membolosi gawang pelawat pada minit ke-51.
Bagaimananpun peman import Penang FC, Lucas Espinola berjaya menanduk masuk bagi merapatkan jurang gol pada minit ke-54.
Bagaimanapun jaringan Arif Aiman pada minit ke-63 sebelum pertahanan Penang FC, Rafael Victor tertampan bola ke gawang sendiri, merekodkan kemenangan 6-1 memihak kepada skuad Harimau Selatan itu.
Sementara itu, Zainal Abidin mengakui kegagalan jentera tengah pasukannya beraksi dengan baik nyata menyaksikan penguasaan JDT di posisi berkenaan dan serangan bertali arus ke pintu gol Penang FC.
“Ternyata mereka (JDT) bermain baik, tetapi belum berakhir lagi kita ada lagi perlawanan di Liga Super.
“Namun, banyak yang perlu diperbaiki bagi memastikan kejayaan pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!